suria

Kontraktor, 'Orang Dalam' Jabatan Akan Disiasat - SPRM

Datuk Azam Baki

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan teragak-agak untuk menyiasat mana-mana pihak yang mempunyai kaitan penahanan tiga penjawat awam termasuk dua bergelar Datuk Seri dan Datuk di tiga negeri pada Isnin.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki berkata, langkah tegas itu diambil bagi memastikan kes dua pegawai kanan kerajaan dan seorang pengurus kawasan syarikat berkaitan kerajaan itu dapat dilengkapkan dengan bukti serta keterangan kukuh.

"SPRM tidak akan teragak-agak menyiasat sesiapa sahaja yang berkaitan dengan perbuatan rasuah, penyelewengan, salahguna kuasa melibatkan ketiga-tiga pegawai kanan kerajaan dan GLC itu.

"Kami percaya banyak pihak yang terlibat dalam siasatan ketiga-tiga kes ini, termasuk kontraktor dan 'orang dalam' jabatan berkenaan," katanya ketika dihubungi mStar Online, Rabu.

Pada Isnin, selain menahan tiga pegawai kanan terlibat berhubung kesalahan berkaitan rasuah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram, SPRM juga membekukan sejumlah RM13 juta harta termasuk wang tunai, kondominium dan kereta mewah.

Penahanan itu melibatkan seorang pengarah jabatan bergelar Datuk Seri yang bertugas di bahagian pembangunan sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT); pengarah negeri sebuah jabatan kerajaan di Melaka bergelar Datuk dan seorang pengurus kawasan syarikat berkaitan kerajaan di Kota Baru, Kelantan.

Siasatan kes berkenaan dibuat mengikut seksyen 17 (a) dan 23 Akta SPRM 2009 serta 4(1)(b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. 

Mengikut Akta SPRM, jika mereka disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 dan lima kali nilai suapan mana-mana yang lebih tinggi. 

Bagi Akta Penggubahan Wang haram, hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil haram atau RM5 juta mana yang lebih tinggi. 

Mengulas lanjut, kata Azam, setakat ini pihaknya sedang meneliti semua bukti bagi memastikan sesiapa yang mempunyai kaitan dengan ketiga-tiga pegawai kanan terlibat dipanggil memberi keterangan.

"Kes mereka disiasat berasingan dan kerjasama semua terlibat penting untuk melengkapkan kertas siasatan," katanya.


Azam Baki, SPRM, DBKL, Datuk Seri

Artikel Berikut

Zaid Saman PM, 1MDB

Artikel Lain