KUALA LUMPUR: Bekas anggota Kabinet, Datuk Zaid Ibrahim memfailkan saman terhadap Perdana Menteri, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dua yang lain mewakili rakyat Malaysia dan pembayar cukai bagi menuntut kembali wang. Dalam pernyataan tuntutan yang diedarkan kepada media pada Rabu, Zaid menamakan Datuk Seri Najib Tun Razak, 1MDB, kerajaan dan anak tirinya, Riza Shariz Abdul Aziz sebagai defendan. Beliau memohon satu perintah terhadap Najib supaya membayar RM42 juta kepada kerajaan atas tuduhan perlanggaran tugas sebagai pemegang amanah apabila sejumlah wang itu dibayar ke akaun peribadi miliknya. Antara lain, Zaid turut memohon perintah agar Najib membayar AS$731 juta (RM2.9 bilion) kepada 1MDB menerusi kaedah pengembalian dengan mendakwa perdana menteri menerima sejumlah wang milik 1MDB ke dalam akaun peribadinya. Zaid juga memohon untuk mendapatkan perintah agar Riza membayar kepada 1MDB semula jumlah yang didakwa diterima olehnya sama ada secara langsung atau tidak langsung dari dana 1MDB. Beliau turut memohon kepada mahkamah mengeluarkan perintah supaya Riza memindahkan semua harta kepada 1MDB di mana sahaja yang diperolehinya atau penama atau ejen. Peguam Zaid, Americk Sidhu mengesahkan saman itu difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi pada Rabu. Pengurusan kes yang dilakukan di hadapan timbalan pendaftar ditetapkan pada 21 September depan.