suria

Daki Bukit Gasing Sambil Kibar Jalur Gemilang

PETALING JAYA: Pemandangan di Bukit Gasing, di sini kelihatan sedikit berbeza pada Sabtu dengan kehadiran sekumpulan 100 anak muda membawa Jalur Gemilang sambil mendaki bukit berkenaan.

Peserta 'Anak Anak Malaysia: Walk Your Chalk' kelihatan teruja membawa bendera kebanggaan negara sepanjang pendakian sejauh lima kilometer yang bermula seawal 8 pagi tadi.

Sebelum memulakan aktiviti mendaki, peserta berkumpul sejam lebih awal dengan wajah yang begitu ceria dan bertenaga.

Setiap peserta mengenakan kemeja-T berwarna hitam dan masing-masing membawa bendera Malaysia bersaiz A3.

Sepanjang perjalanan kira-kira sejam itu, Jalur Gemilang berkibaran megah apabila deretan peserta bergerak dalam keadaan berbaris melalui denai hutan simpan Bukit Gasing tersebut.

Walaupun rata-rata peserta tidak mengenali antara satu sama lain serta berbeza agama dan bangsa, sikap kerjasama yang ditunjukkan mereka menonjolkan identiti rakyat Malaysia.

Pelajar tahun akhir Diploma Perhubungan Awam Universiti Sains dan Pengurusan (MSU) Tunku Mariatun Tunku Mohamed Abidah, 21, berkata penyertaannya dalam aktiviti itu bagi menzahirkan perasaan cintakan negara.

"Jarang aktiviti seperti ini diadakan, dan saya tidak melepaskan peluang bersama rakan menyertainya, selain memanfaatkan cuti hujung minggu," katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.

Beliau yang pertama kali mendaki bukit tersebut berkata aktiviti seumpama itu perlu diteruskan bagi menerapkan semangat kibar bendera yang dilihat kian pudar dalam kalangan belia.

Rakannya, Samantha Roselind Nicholas, 20, berkata program menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan melalui pendakian adalah cara yang berbeza dan lebih santai.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman berkata program tersebut diadakan sebagai inisiatif memberi kesedaran kepada masyarakat sekeliling untuk sama-sama mengibarkan bendera Malaysia.

Beliau berkata peserta terdiri daripada mahasiswa dalam jurusan Perhubungan Awam dari MSU, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), pengamal perhubungan awam dan masyarakat sekitar.

"Selain menyemarakkan semangat patriotik, program ini juga membuka ruang kepada mahasiswa berkongsi pengalaman berkaitan bidang perhubungan awam bersama sifu-sifu dan profesional.

"Melalui program ini, mereka boleh berkongsi dengan cara yang lebih santai berbanding belajar dalam kelas," katanya yang juga Presiden Institut Perhubungan Raya Malaysia (IPRM).

Hari Kebangsaan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain