LABUAN: Kemunculan parti politik baharu dalam menuju Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bukan perkara luar biasa sebaliknya satu kebiasaan atau norma dalam arena politik tanah air, kata Ketua Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil. Bagaimanapun, beliau mengingatkan anggota Umno agar tidak memandang penubuhan parti baharu "sambil lewa" dan perlu bersiap sedia untuk menghadapi saingan daripadanya. "Kemunculan parti-parti (baharu), meskipun diterajui oleh bekas pemimpin Umno, ia bukan menjadi penentu dalam PRU14. Adalah penting bagi kesemua pergerakan (sayap) dalam Umno untuk sentiasa bersiap-sedia menyumbang khidmat untuk rakyat di semua peringkat. "Yang amat mustahak untuk menang dalam pilihan raya adalah untuk meletak rakyat sebagai pengukur khidmat bakti kita atau KPI (Petunjuk Prestasi Utama), dan sekiranya kita meletak rakyat sebagai KPI, rakyat akan memberi respons yang baik kepada kita (Umno), katanya. Shahrizat berkata demikian kepada Bernama selepas merasmikan persidangan perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Labuan, di sini pada Sabtu. Beliau menggesa barisan kepimpinan dan anggota parti agar melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu dalam mendepani pembangkang dalam menghadapi PRU14. "Kita harus ada perancangan untuk rakyat ... fokus utama kita adalah (membantu) rakyat," katanya. Shahrizat berkata Wanita, Puteri dan Pemuda Umno akan terus menjadi benteng kepada Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mengharungi pelbagai bentuk cabaran. Dalam pada itu, katanya melihat kepada peranan penting wanita, adalah perlu pemimpin pergerakan Wanita diberi jawatan penting sama dengan pemimpin lelaki termasuk di peringkat bahagian parti. "Setiap kejayaan seorang lelaki itu, selalunya di sisinya adalah wanita atau isteri yang tabah. Oleh yang demikian, pergerakan Wanita tidak harus diperkecilkan tetapi harus dihormati atas pengorbanan dan maruah mereka, katanya. Shahrizat juga mengingatkan anggota dan barisan kepimpinan pergerakan Wanita, Puteri dan Pemuda agar tidak menjadikan pergerakan itu sebagai platform untuk bersaing atau berlawan-lawan yang hanya akan menjejaskan parti.