suria

Jangan Melampaui Batas, Kata Najib Kepada Dr M

Najib Tun Razak.

TUMPAT: Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak memberi amaran kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya jangan melampaui batas kerana ia bertentangan dengan konsep Islam.

Najib yang juga Perdana Menteri berkata tindakan Dr Mahathir dilihat seperti cuba mahu meruntuhkan Umno.

Islam sendiri, katanya, menggalakkan penganutnya untuk menegur pemimpin  dengan cara yang baik selain mengamalkan pendekatan musyawarah (mesyuarat) dan syura (perbincangan).

"Kita mesti mempertahankan parti, kukuhkan perjuangan. Sudah jadi pemimpin besar 22 tahun pun masih tak faham-faham ... nak jatuhkan parti.

"Don't cross the line (jangan melampaui batas). Parti adalah warisan kita. Guna kaedah yang betul ikut konsep parti dan Islam," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Perasmian Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Tumpat di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Batang, di sini Sabtu.

Najib juga berkata beliau okay sekiranya ada di kalangan pemimpin Umno tidak setia kepada presiden tetapi jangan bertindak meruntuhkan parti itu.

Beliau turut meminta ahli Umno setia dengan pemimpin dan parti selagi pemimpin berada di landasan betul.

Sementara itu, Najib berkata beliau akan menyerahkan kerajaan dan parti dalam keadaan yang kuat kepada pemimpin seterusnya bagi meneruskan legasi perjuangan pemimpin terdahulu.

Namun bagi merealisasikan hasrat itu, beliau menegaskan anggota parti perlu bersikap setia dan tidak menyerang parti walaupun berbeza pendapat dengan kepimpinan semasa parti.

Najib berkata sebab itu beliau menghargai bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan pesanan kepada dirinya supaya membawa lebih banyak kejayaan kepada Malaysia berbanding apa yang beliau (Abdullah) sendiri telah lakukan.

"Perjuangan kita melewati pemimpin ... bila bersara nanti saya nak serah kerajaan dan parti (yang kuat). Saya (akan) pesan (kepada pemimpin seterusnya) tolong bawa parti dan kerajaan (menjadi) lebih hebat daripada zaman saya," katanya.

Pada masa sama, Najib berkata pemimpin Umno terutama di Kelantan perlu bersikap merendah diri dan perlu menyesuaikan diri dengan keadaan setempat jika mahu menang pada pilihan raya umum ke-14 akan datang.

Katanya pemimpin setempat juga perlu mengikis sikap ego jika tidak dipilih mewakili kawasan mereka dan perlu meletakkan maruah parti lebih tinggi berbanding kepentingan diri sendiri.

"Pemimpin kena turun padang, buat dengan perwatakan yang disenangi orang kampung. Jangan turun dengan kereta mewah. Janji tidak ditepati, sombong, ini pantang (bagi rakyat)... sesuaikan diri sebagai pemimpin dengan keadaan setempat.

"Bila letak maruah diri lebih tinggi daripada maruah parti (pasti) akan berlaku perpecahan. (Ketika itu) Jangan harap nak menang. Depan kata okay (tapi di) belakang kutuk pemimpin," katanya.

Artikel Lain