PAGOH: Ahli Umno tidak sepatutnya menghukum parti kerana tindakan beberapa pemimpin tetapi sebaliknya perlu bersatu untuk meneruskan survivalnya, kata Datuk Mohamed Khaled Nordin. Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Johor itu berkata beliau dimaklumkan ramai 'hilang keyakinan' kerana mereka percaya parti tersebut menyimpang dari asas perjuangannya. "Ramai daripada mereka percaya Umno berada di persimpangan. Saya akui ada beberapa kebenarannya tetapi menonjolkan lagi kelemahan berulang kali tidak akan menyelesaikan isu parti," katanya. Mohamed Khaled yang juga Menteri Besar Johor berkata demikian dalam ucapannya sebelum merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Pagoh di sini. Beliau berkata tindakan meninggalkan parti bukan jalan alternatif tetapi sebagai ahli, satu-satunya cara untuk mengembalikan kegemilangan Umno adalah menyelesaikan permasalahan. "Ia tindakan tidak bertanggungjawab bagi kita untuk meninggalkan Umno selepas apa yang dilakukan parti untuk kita semua," katanya.