MELAKA: Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkata beliau sedia memberi keterangan di mahkamah berhubung semakan kehakiman bagi mencabar keputusan mengklasifikasi Laporan Ketua Audit Negara ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai rahsia rasmi. Beliau berkata hadir ke mahkamah bagi memberi keterangan dan memberikan kerjasama penuh pada bila-bila masa bagi menjadi saksi adalah sebahagian daripada tanggungjawabnya. "Kalau saya diperlukan datang ke mahkamah untuk menjadi saksi saya akan hadir, itu tanggungjawab saya. Lagipun nama saya telah disebut, jadi saya kena bagi penjelasan. "Setakat ini saya belum dipanggil dan saya bersedia pada bila-bila masa," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Hari Audit 1Malaysia dan Persidangan Juruaudit Sektor Awam Jabatan Audit Negara 2016 disempurnakan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron. Pada 15 Ogos lepas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan mengklasifikasi Laporan Ketua Audit Negara ke atas 1MDB sebagai rahsia rasmi. Ditanya tentang permohonan semakan kehakiman berkenaan, Ambrin berkata Azmin mempunyai hak untuk memfailkan semakan tersebut dan beliau (Ambrin) akan melihat perkembangan kes tersebut. Sementara itu, beliau berkata Indeks Akauntabiliti (AI) yang diperkenalkan sejak 2007 banyak berlaku penambahbaikan dari segi pematuhan pengurusan kewangan sektor awam. "AI adalah satu sistem unggul yang dibangunkan hasil inovasi Jabatan Audit Negara bagi menilai tahap kepatuhan segala peraturan kewangan kerajaan dan menjadi tanggungjawab penjawat awam mematuhinya," katanya. Katanya, semua agensi dan jabatan kerajaan diminta melipat gandakan usaha untuk mencapai taraf lima bintang menerusi garis panduan dan peraturan yang telah ditetapkan.