KUALA LUMPUR: Penghuni tingkat 12 sebuah apartmen di Jalan Jelawat 2, Cheras gempar apabila seorang bayi perempuan masih bertali pusat ditemukan terbaring di atas lantai di hadapan sebuah unit apartmen itu, Isnin. Saksi, S. Kumuthini, 24, berkata beliau mengetahui tentang kejadian itu selepas seorang jiran di tingkat sama mengetuk pintu dan memaklumkan mengenai penemuan bayi di hadapan rumahnya pada kira-kira 2.15 petang. "Semasa ditemui, bayi itu tidak menangis dan hanya memakai lampin serta dibalut dengan jaket ditinggalkan bersama beberapa peralatan bayi termasuk botol susu dan dua keping lampin pakai buang dalam sebuah plastik di sisi bayi itu," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini. Kumuthini berkata beliau dan penduduk lain yang berada di tempat kejadian tiba-tiba didatangi seorang lelaki tidak dikenali berusia lingkungan 20-an yang bertanya tentang punca kekecohan berlaku sebelum mengakui bayi berkenaan adalah milik saudaranya. Menurutnya, lelaki itu kemudiannya tergesa-gesa melarikan diri ke arah tangga apabila mereka meminta nombor telefonnya. Susulan itu, katanya, wanita yang menemukan bayi tersebut telah membuat laporan di balai polis berhampiran sebelum bayi itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk pemeriksaan kesihatan. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras ACP Chong Kok Sin berkata pihaknya telah menahan seorang lelaki berusia 25 tahun di sekitar Cheras pada pukul 12.30 malam tadi bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan. "Kami akan melakukan ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti identiti bayi berkenaan," katanya. Katanya, polis telah memaklumkan Jabatan Kebajikan Masyarakat berkenaan penemuan bayi itu. Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.