suria

Matta Saran Cukai Lapangan Terbang Dihapuskan

KUALA LUMPUR: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) menyarankan agar caj perkhidmatan penumpang atau cukai lapangan terbang dihapuskan untuk meningkatkan "aliran penumpang" ke negara ini.

Presidennya, Datuk Hamzah Rahmat, berkata penghapusan cukai lapangan terbang juga akan menggalakkan lebih banyak rakyat Malaysia melakukan perjalanan ke luar negara.

"Beberapa negara seperti UK tidak mengenakan cukai lapangan terbang. Kita patut mencontohinya. Saya percaya kita boleh meningkatkan jumlah pelawat dengan cara ini," kata beliau kepada pemberita di sini Rabu.

Hamzah berkata orang yang menggunakan terminal tambang rendah klia 2 ingin membuat perjalanan dengan kos rendah dan golongan ini tentu menyambut baik penghapusan cukai lapangan terbang.

Penghapusan cukai itu akan menjadikan orang lebih mampu membuat perjalanan dan dengan itu akan meningkatkan kekerapan penerbangan...semua ini akan meningkatkan aliran penumpang ke negara ini," katanya.

Walaupun tidak memberi statistik, Hamzah berkata keseluruhan aliran pelancong ke negara ini tidak terjejas oleh kelemahan ekonomi global.

"Begitu juga, tidak terdapat pengurangan dari segi jumlah rakyat Malaysia yang pergi ke luar negara," katanya.

Pada sidang akhbar sebelumnya, pengumuman dibuat bahawa Emirates menjadi rakan syarikat penerbangan rasmi bagi Matta Fair 2016, yang akan diadakan dari 2 hingga 4 Sept di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Tambang yang akan ditawarkan Emirates pada pesta itu meliputi destinasi popular di Eropah, Americas dan Timur Tengah.

Tambang kelas ekonomi termasuk semua bermula dari RM2,299 untuk ke United Kingdom, RM2,679 ke Ireland, RM2,339 ke Eropah RM2,199 ke Timur Tengah dan RM3,929 ke America.

Tambang kelas perniagaan pula bermula dari RM10,409 untuk ke United Kingdom, RM10,639 ke Ireland, RM8,839 ke Eropah, RM6,739 ke Timur Tengah dan RM12,779 ke America.


Tempahan perlu dibuat antara 26 Ogos dan 12 September untuk perjalanan antara 2 Sept 2016 dan 31 Mac 2017.

Artikel Lain