suria

49 Jemaah Pilih Pakej Haji RM220,000 Seorang

MAKKAH: Biarpun kos menunaikan haji kini mencecah RM220,000 seorang bagi pakej paling mewah, namun ramai juga yang mengambil pilihan ini untuk keselesaan sewaktu mengerjakan rukun Islam kelima itu.

Pengarah Operasi Pengelola Jemaah Haji, Mat Admara Azizdin berkata bagi  musim haji tahun ini, seramai 49 jemaah telah memilih pakej mewah itu yang dikendalikan syarikat swasta yang berdaftar dengan Lembaga Tabung Haji (TH).

Pakej ini menawarkan hotel penginapan mewah serta lokasinya yang dekat dengan Masjidil Haram, di samping menyediakan khemah yang nyaman ketika operasi Masya'ir di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Pakej swasta ini disediakan oleh 16 syarikat swasta termasuk anak syarikat Tabung Haji, TH Travel and Services.

Nilai pakej antara RM22,000 dan RM220,000 seorang.

"Bagi musim haji ini seramai 2,208 orang jemaah memilih pakej berkenaan.

"Seramai 847 orang memilih TH Travel and Services," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata mereka yang memilih pakej swasta, mestilah terlebih dahulu terpilih menunaikan haji oleh TH.

Mereka yang tidak mengambil pakej swasta ini akan diterima sebagai jemaah haji muassasah, katanya.

Mengenai syarikat yang mengendali jemaah haji, beliau berkata, jumlah mereka pernah mencecah hingga 30 buah satu ketika dahulu.

Namun jumlah itu kini jauh berkurangan setelah lesen operasi mereka ditamatkan akibat tidak mematuhi syarat dan ada yang melakukan kesalahan serius yang boleh menjejas nama baik negara dan TH.

"Antara kesalahan itu ialah melanggar peraturan dan undang-undang haji Arab Saudi," katanya.

Bagaimanapun, katanya, TH menyediakan pasukan pemantau bagi menentukan syarikat berkenaan sentiasa mematuhi peraturan dan perjanjian.

Beliau menasihatkan jemaah haji yang mahu menggunakan perkhidmatan pakej supaya memastikan syarikat tersebut berdaftar dengan TH.

"Selain itu kami menasihatkan mereka (jemaah haji) agar membuat sebarang aduan (berhubung masalah perkhidmatan) di Tanah Suci lagi supaya tindakan segera dapat diambil dan bukan ketika sudah pulang (ke tanah air)," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut