suria

Lapan Anggota Bomba Sesak Nafas Ketika Operasi Menyelamat Dalam Tangki Kumbahan

Anggota bomba diberi rawatan akibat sesak nafas ketika operasi menyelamat dalam tangki kumbahan di Kampung Cina, Khamis malam.

MELAKA: Lapan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka sesak nafas apabila terhidu gas metana ketika menjalankan operasi menyelamat seorang pekerja Bangladesh terjatuh ke dalam tangki kumbahan di tapak pembinaan di Kampung Cina di sini, Khamis malam.

Timbalan Penguasa Bomba Bahagian Operasi JBPM Melaka Kamarulzaman Mohd Din berkata semua anggota bomba berusia antara 20 hingga 40 tahun itu masuk ke dalam tangki itu untuk menyelamat pekerja berumur 36 tahun itu yang kemudiannya ditemukan telah meninggal dunia selepas dipercayai terhidu gas beracun itu.

"Anggota terbabit ditarik keluar dari dalam tangki kumbahan sedalam 4.5 meter itu selepas mengalami sesak nafas dalam operasi 11 malam itu.

"Anggota menggunakan peralatan perlindungan untuk operasi itu namun kemungkinan disebabkan tekanan udara yang kuat dan disyaki terdapat gas beracun," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian malam tadi.

Beliau berkata semua anggota terbabit diberi rawatan awal oleh anggota paramedik sebelum dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

Kamarulzaman berkata operasi mengeluarkan mangsa yang telah meninggal dunia di dalam tangki tersebut kemudian diteruskan dengan bantuan pasukan Pengurusan Bahan Berbahaya (Hazmat) dan operasi tamat kira-kira 2 pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata mayat pekerja itu berjaya dikeluarkan kira-kira 1.30 pagi sebelum dibawa ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat.

Beliau berkata mangsa telah bekerja sebagai buruh binaan di tapak pembinaan bangunan pejabat tersebut kira-kira setahun.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, katanya.-- Bernama

tangki kumbahan, bomba, Kampung Cina

Artikel Lain