BALIK PULAU: Akibat melemparkan tohmahan terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM), seorang penceramah bebas hari ini didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan itu pada Februari lepas. Majistret Nur Azzuin Abdul Moati memerintahkan Nahar Afandi Ghazali, 45, yang dihadapkan ke mahkamah hari ini, menjalani hukuman penjara 30 hari jika gagal membayar denda itu. Bapa kepada 10 anak itu menghadapi pertuduhan mentohmah Polis Diraja Malaysia ketika berceramah di Masjid Jamek Sungai Tiram, Barat Daya di sini ketika antara 6.40 pagi hingga 7.40 pagi, 20 Februari 2016. Dia didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Terdahulu, Ketua Unit Pendakwaan negeri Datuk Razali Che Ani memohon mahkamah mengenakan hukuman bersifat pengajaran kepada tertuduh demi kepentingan awam. Beliau berkata ceramah yang mengandungi tohmahan terhadap PDRM itu pula telah dimuat naik ke dalam laman sosial yang boleh ditonton orang ramai. Peguam Norliza Mohd Ali yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan hukuman denda pada jumlah kecil kerana tertuduh telah mengakui kesilapan dan berjanji tidak akan mengulanginya. Tertuduh membayar denda itu.-- Bernama