SINGAPURA: Tiga menteri kabinet Malaysia akan menghadiri upacara pengebumian negara bekas Presiden Singapura, mendiang S R Nathan di sini Jumaat, menurut Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura. Tiga menteri berkenaan ialah Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup, dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, kata suruhanjaya itu kepada Bernama. Upacara pengebumian negara itu akan diadakan di University Cultural Centre (UCC), National University of Singapore dari 3 petang hingga 5 petang. Upacara di UCC akan dihadiri anggota keluarga mendiang Nathan, presiden Singapura, perdana menteri, menteri kabinet, anggota parlimen, anggota badan kehakiman dan perwakilan asing. Tujuh eulogi akan disampaikan, termasuk oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) yang juga Menteri di Pejabat Perdana Menteri Chan Chun Sing, dan Duta Tugas Khas Tommy Koh. Perarakan membawa jasad mendiang akan bermula pada 2 petang, melepasi mercu tanda yang begitu signifikan kepada Nathan seperti City Hall, Fullerton Hotel dan Pusat NTUC menghala ke UCC. Menurut Jawatankuasa Pengelola Pengebumian Negara, jumlah orang ramai yang berbaris untuk memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Nathan sehingga 10 malam Khamis, adalah lebih 20,000 orang. Nathan, 92, meninggal dunia di Hospital Besar Singapura pada 9.48 malam Isnin lepas, tiga minggu selepas diserang angin ahmar. Nathan yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia pada 1988, merupakan presiden Singapura yang paling lama berkhidmat dan menyandang jawatan itu selama dua penggal dari 1999 hingga 2011. Beliau secara rasmi berundur sebagai Presiden keenam pada 31 Ogos, 2011 dan diganti oleh Presiden sekarang Tony Tan Keng Yam.