SELAYANG: Hampir 5,000 peminat buah-buahan tempatan menyerbu perkarangan bangunan Fama Point di sini seawal pukul 6 pagi Jumaat untuk tidak melepaskan peluang merebut harga jualan terus dari ladang menerusi program MyBest Buy. Kira-kira 50 gerai dibuka dan menawarkan buah-buahan tempatan segar antaranya rambutan, rambai, cempedak serta durian pada harga 20 peratus lebih rendah dari pasaran. Program MyBest Buy ini bermula 8 pagi hingga 5 petang dan diadakan pada Jumaat minggu terakhir setiap bulan. Menerusi program ini, Fama menyasarkan peningkatan jualan sekali ganda kepada RM14 juta tahun ini, berbanding sebanyak RM7 juta tahun lalu. Ketua Pengarah Fama, Datuk Ahmad Ishak yang ditemui pada pelancaran program itu berkata, MyBest Buy menunjukan perkembangan positif apabila berjaya mengumpulkan lebih ramai usahawan tani melibatkan produk pertanian dan makanan. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia melalui Fama juga akan melaksanakan Karnival MyBest Buy di seluruh negara bermula Ogos sehingga Oktober di lokasi terpilih. Program ini diterajui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ini hasil usaha sama Fama serta Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat). MyBest Buy merupakan inisiatif Strategi Lautan Biru (NBOS) dalam mengurangkan perbelanjaan isi rumah melalui penawaran produk hasil pertanian dengan harga yang berpatutan dan kompetitif.