KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang menjangkakan perhimpunan #TangkapMalaysianOfficial1 kurang mendapat sambutan berkata, rakyat mulai bosan mengadakan demonstrasi. "Orang dah penat dan jemu," katanya sambil menambah bahawa perhimpunan sebelum ini yang dianjurkan Bersih tidak membawa kesan yang signifikan. Ditanya sama ada kurang sambutan itu menunjukkan sokongan rakyat terhadap kerajaan yang memerintah, Nur Jazlan berkata, kebanyakannya menunjukkan bahawa rakyat sinis terhadap demonstrasi. "Adakan demonstrasi dah cukup baik, hanya tidak berkesan. Jika anda mahu mengubah kerajaan, buatlah pilihan pada pilihan raya umum," katanya pada Sabtu. Himpunan itu bertujuan untuk memberi tekanan terhadap pihak berkuasa supaya menahan dan mendakwa “Malaysian Official 1” yang dinamakan dalam laporan tindakan saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat berkaitan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB). Sebanyak 10 badan bukan kerajaan (NGO), dengan kebanyakannya merupakan pertubuhan belia menunjukkan sokongan mereka terhadap himpunan itu bersama sayap pemuda PKR, DAP dan Amanah.