KLUANG: Selepas tangannya terlalu kerap cedera kerana perlu mengupas hampir 500kg pisang setiap hari, beliau mendapat satu idea! Usahawan, Shahabuddin Sharafat Ali, 52, mengambil keputusan untuk mencipta 'pisau sifar kecederaan' untuk meringankan kerja-kerjanya. "Saya perlu kupas 400 hingga 500 kilogram pisang tanduk setiap hari. Selalu sangat pisau tajam yang saya gunakan sebelum ini mencederakan saya. "Walaupun kulit tanduk pisang lebih sukar dikupas berbanding pisang biasa, ia masih boleh dikupas dengan pisau tumpul. "Jadi saya buat pisau sendiri," katanya semasa Hari Inovasi dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Pertanian Johor, Rabu. Bapa kepada enam anak ini yang menghasilkan kerepek pisang rangup dari ladang pisangnya berhampiran Mukim 1 di Semerah, Batu Pahat, memenangi Pertandingan Inovasi Peladang 2016 untuk pisau rekaannya yang nampak ringkas tetapi kreatif. Shahabuddin berkata pisau bentuk melengkung itu menjadikan kerjanya lebih mudah, selain membolehkan tugas-tugasnya diselesaikan dengan lebih cepat. Shahabuddin berkata beliau boleh mengupas antara 40kg dan 50kg pisang tanduk dalam masa sejam. "Jika guna pisau biasa, anda mungkin akan mengupas purata 12kg hingga 15kg sahaja dalam satu jam atau 30kg hingga 35kg dengan pemotong buah-buahan," katanya. Beliau menyifatkan rekaannya itu sebagai ringkas dan mudah, di mana ia diperbuat daripada bilah keluli tahan karat yang disambungkan dengan pemegang pisau melengkung. "Panjang pisau juga lebih pendek daripada biasa untuk cengkaman yang lebih mudah apabila mengupas. "Paling bagus apabila anak perempuan saya yang berusia lima tahun juga boleh membantu saya kerana pisau itu tidak bahaya," kata beliau sambil menambah kos RM15 diperlukan untuk membuat pisau tersebut. Pemilik ladang durian Low Soon New, 56, berada di tempat kedua untuk pengikis durian rekaannya yang digunakan untuk membersihkan daun-daun kering. Soon New membersihkan daun kering yang biasanya melekat pada duri 'raja buah' yang dikatakan sebagai satu proses penting sebelum ia dipasarkan kepada orang ramai. "Sebelum menjual buah-buahan, kami perlu pastikan ia bersih dan boleh dimakan. "Proses membersihkan daun kering yang melekat pada duri durian agak membosankan dan memakan masa, terutamanya jika jumlahnya banyak. "Dengan pengikis durian ini, peniaga-peniaga boleh membersihkan buah dengan lebih cepat berbanding menggunakan batang kayu atau sikat getah," katanya.