suria

Diskaun Hartanah Di Selangor Terpakai Kepada Semua

Datuk Teng Chang Khim
SHAH ALAM: Exco Selangor Datuk Teng Chang Khim berkata kenyataannya mengenai garis panduan baharu bagi pembangunan perumahan di negeri ini telah disalah anggap sebuah akhbar vernakular dalam laporannya.

Beliau berkata laporan itu, yang mendakwa kerajaan Selangor tidak lagi akan memberi 10 peratus diskaun bumiputera bagi pembelian unit pangsapuri berservis, soho (rumah pejabat kecil) dan SoVo (rumah pejabat versatil) di negeri ini, tidak tepat.

''Tidak ada soalan mengenai penghapusannya (10 peratus diskaun bumiputera) tetapi kami menurunkan harga dan menyelaraskannya untuk semua.

''Pentadbiran negeri mengambil langkah untuk menyeragamkan harga jualan hartanah, tidak memansuhkan diskaun seperti yang dilaporkan,'' katanya di sini, Isnin.

Akhbar itu, dalam laporan eksklusifnya pada Isnin berkata bahawa diskaun bumiputera 10 peratus sedia ada bagi pembelian pangsapuri berservis mampu milik, soho dan SoVo akan dimansuhkan berikutan pelaksanaan garis panduan pembangunan perumahan baharu bermula 1 September.

Chang Khim, yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana, dan Pengangkutan Negeri, berkata, kerajaan negeri menerima cadangan untuk menurunkan harga hartanah mampu milik sebanyak 10 peratus bagi memanfaatkan pembeli daripada kategori lebih rendah dan sederhana.

''Harga yang dicadangkan untuk 'service apartment', soho dan SoVo telah diturunkan untuk menyesuaikannya dengan kategori.


''Kami menawarkan ciri-ciri ini untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana dan tidak ada sebab bumiputera diberi diskaun dan tidak kepada bukan bumiputera kerana mereka sama-sama miskin.

''Oleh itu, kita kurangkan harganya dan menjadikannya harga standard untuk semua," kata beliau sambil menambah peruntukan kuota 30 peratus bumiputera untuk pemilikan harta kekal.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, rumah mampu milik dan kos rendah adalah perkara yang melangkaui bangsa, agama, warna kulit dan latar belakang.

''Miskin dan kurang kemampuan dari segi kewangan berlaku dalam semua kaum dan agama. Prinsip negeri ini adalah untuk membantu mereka yang berpendapatan rendah untuk memiliki rumah.

''Kami telah bersetuju dengan beberapa garis panduan baharu dan ia akan diumumkan secara terperinci oleh Datuk Teng dan exco perumahan, Datuk Iskandar Abdul Samad kemudian,'' katanya ketika ditemui selepas program seni di sini, sambil menambah laporan akhbar vernakular ini mungkin disebabkan oleh 'salah faham'.

Artikel Sebelum

Artikel Lain