SHAH ALAM: Kementerian Kerja Raya memperuntukkan RM3.13 juta untuk menambah baik laluan motosikal di sepanjang Lebuhraya Persekutuan yang berada di bawah seliaan kementerian itu. Menteri berkenaan Datuk Seri Fadillah Yusof berkata peruntukan jangka masa pendek bagi 2016 itu ialah antaranya bagi projek menerangkan kawasan laluan gelap dan menambah rumah pam air di laluan yang sering banjir. "Kita akan tambah pencahayaan, cat dinding terowong guna warna lebih cerah, cat garisan jalan, lebarkan jalan, tambah papan tanda dan baiki lorong keluar masuk laluan motosikal," katanya pada sidang media selepas meninjau laluan motosikal di lebuh raya itu di sini Isnin. Kementerian juga, katanya sedang menunggu kelulusan untuk membina 'overhead ramp' dan menambah pam air untuk laluan di Jalan 222, Petaling Jaya, yang sering banjir. Fadillah sebelum itu diiringi beberapa pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) menunggang motosikal di laluan sepanjang Lebuhraya Persekutuan bagi melihat secara dekat masalah penunggang motosikal bermula dari Stesen LRT Universiti, Kuala Lumpur sehingga Tol Batu Tiga di sini. Lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan yang pertama di negara ini sepanjang 28.5km diselia empat pihak iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) (sepanjang 8.1km), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (2.4 km), Sprint (2km) dan PLUS (16km). Tambah Fadillah, pengguna lebuh raya yang mempunyai sebarang aduan mengenai jalan rosak boleh menyalurkannya terus kepada kementerian menerusi aplikasi atas talian 'Aduan Jalan KKR' dengan kira-kira 5,000 pengguna berdaftar sejak dilancarkan Mac tahun lepas. Aduan boleh dibuat dengan menghantar gambar dan lokasi berkenaan, memilih jenis aduan, mengisi maklumat dan seterusnya menghantarnya. Mengulas kejadian peralatan kren menghempap dan membunuh seorang pemandu wanita di Jalan Raja Chulan, Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada Khamis lepas, Fadillah berkata kementerian itu hanya boleh bertindak jika syarikat pembinaan terbabit berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB). "Jika syarikat itu berdaftar dengan CIDB dan jika didapati mereka mengambil pekerja tidak berdaftar serta tidak kompeten, kita boleh ambil tindakan terhadap petugas dan kontraktor. Siasatan sedang dijalankan, kita tunggu keputusannya," katanya. Dalam kejadian 7.20 malam itu, Chim Khoo Sing, 24, berasal dari Pulau Pinang maut akibat dihempap besi kren seberat 1,000 kilogram yang jatuh dari tingkat 20 bangunan yang sedang dalam pembinaan.