suria

Kemerdekaan Malaysia Bukan Hadiah Manis, Ihsan Kolonial Inggeris - MB Johor

Mohamed Khaled Nordin.

TANGKAK: Kemerdekaan negara ini bukan hadiah manis dan ihsan kolonial Inggeris sebaliknya hasil pengorbanan pejuang tanah air terdahulu, kata Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata kita tidak akan mampu membayar balik semua pengorbanan itu dengan apa-apa imbuhan sekalipun.

"Kemerdekaan adalah maruah dan harga diri yang kita tebus dengan darah, keringat dan air mata daripada pejuang bangsa.

"Mereka (pejuang bangsa) benar-benar rela mati, hanya kerana ingin bangsa ini bebas daripada penjajah," katanya ketika menyampaikan Amanat Merdeka pada Majlis Ambang Merdeka bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2016 di Dataran Ledang, di sini malam Selasa.

Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar yang juga Anggota Parlimen Ledang Datuk Ir Hamim Samuri dan Pegawai Daerah Tangkak Abdul Alim Abd Shukor.

Pada majlis tersebut, Mohamed Khaled turut melancarkan Lagu Muafakat Johor dan Laman Survei Bajet Johor 2017.

Menter besar berkata makna dan tujuan menyambut Hari Kebangsaan adalah mendoakan para pahlawan negara, menghayati semangat pantang menyerah kalah dan keberanian yang terdapat pada pejuang bangsa.

Katanya selain itu pengajaran yang perlu dihayati ialah semangat berkorban, dan menurutnya "tidak ada apa yang mudah dalam dunia ini... apa pun yang dilakukan pastinya memerlukan pengorbanan".

Beliau berkata rakyat negara ini perlu merasa bangga menjadi rakyat Malaysia. 

"Kita mesti bangga punya tanah air, punya Malaysia yang satu-satu ini.

"Jangan kita berpeluk tubuh, melihat dan membiarkan  sahaja tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab merobek dan merosakkan negara ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain