suria

Pekerja Bangladesh Maut, Warga Tempatan Sempat Diselamatkan

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: "Saya melihat sendiri rakan sebilik saya tertimbus dalam tanah runtuh ketika dia sedang melakukan kerja memotong benteng sungai di kawasan longkang besar," kata Lukman Husin.

Pekerja warga Bangladesh berumur 38 tahun itu berkata dia dan pekerja lain tidak sempat menyelamatkan rakan senegaranya Najmul Hossain, 38, yang maut dalam kejadian tanah runtuh di Taman Segambut di sini pada kira-kira 3.30 petang itu kerana ia berlaku terlalu pantas.

"Kami sempat menyelamatkan seorang lagi pekerja pembinaan warga tempatan berusia 28 tahun yang dihempap batu konkrit namun Najmul telah tertimbus dan tertutup dengan batu besar dan tanah yang runtuh di kawasan berbukit itu," katanya.

Lukman berkata ketika kejadian, mereka yang merupakan pekerja tapak pembinaan kondominium di tempat kejadian sedang memotong benteng sungai bagi membaiki saliran air yang menyebabkan paras air sungai naik akibat hujan lebat pagi Selasa.

Sementara itu, seorang lagi saksi, Samaran Samadi, 37, berkata dia  terkejut apabila mendengar jeritan beberapa rakan sekerjanya yang sedang melakukan kerja pemotongan benteng dari bawah bukit tapak pembinaan.

"Saya lihat beberapa rakan lain sedang menyelamatkan seorang lagi pekerja namun kami sedih kerana gagal menyelamatkan Najmul. Permukaan tanah ini menjadi lembut akibat hujan lebat pada pagi tadi dan memang membahayakan pekerja kerana berisiko untuk runtuh," katanya.

Ketua Pusat Pergerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Mohd Samsol Maarof Saibani berkata pihaknya segera mengerahkan 12 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Hartamas dan Taman Tun Dr Ismail sebaik menerima panggilan pada 3.57 petang dan tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian.

Mohd Samsol berkata lelaki warga tempatan yang diselamatkan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dirawat manakala lelaki warga Bangladesh yang maut tertimbus tanah sedalam enam meter berjaya dikeluarkan pada pukul 6.08 petang.

"Mangsa yang maut telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain