KUALA LUMPUR: Berikut ialah teks penuh Amanat Merdeka 2016 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Selasa malam. BismillahirRahmanirRahim, Alhamdulillahi Rabbil Alamin wa biHi nastain, Selawat dan Salam ke atas Rasul junjungan, Nabi Muhammad, penutup segala Anbiya, Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri, YB Menteri-Menteri, Timbalan-Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha Negara, Dif-Dif Kehormat, Para Tetamu dan Wakil-Wakil Media. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam 1Malaysia, Salam Sehati Sejiwa dan Salam Merdeka, Mukadimah Saudara dan Saudari Sekalian. 1.Pertama-tamanya, marilah kita mengangkat rasa kesyukuran yang amat tinggi, ke hadrat Allah Hu Ta-ala, kerana pada malam yang bermakna ini, kita diizinkan untuk berhimpun di dewan yang megah lagi bersejarah, bagi menyambut ambang merdeka. 2.Justeru, saya berucap di sini bukan sahaja sebagai seorang Perdana Menteri, atau seorang pemimpin parti, yang lebih utama, sebagai seorang Anak Malaysia. 3.Lalu, di hadapan ribuan hadirin yang dikasihi, dari pelbagai kelompok dan latar belakang berbeza, saya dapat berasakan, saya dapat feel, satu aura luar biasa atau a very positive vibe, yang menyalakan semangat nasionalisme, patriotisme dan jatidiri yang mendalam lagi kental. 4.Maka, bagi menghangatkan sambutan malam ini, ayuhlah,... ayuhlah,... kita berikan,... satu tepukan paling gemuruh kepada Malaysia,... pertiwi tercinta ini! Saudara dan Saudari, 5.Saya ingin memulakan amanat Merdeka ini, dengan melontarkan beberapa persoalan. Pertama: Apakah ertinya kemerdekaan kepada kita semua, terutama sekali setelah negara dengan izin Tuhan, sampai di ambang 6 dekad? Keduanya: Sebagai rakyat Malaysia, tidak kira apa bangsa pun, harus bahkan sewajibnya sentiasa beringat-beringat akan sejarah tentang siapakah yang telah mengetuai perjuangan menuntut kemerdekaan. Kerana itulah, kita perlu bersungguh-sungguh mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan, yang telah diperjuangkan oleh bapa-bapa tanah air yang dipelopori oleh UMNO, bersama Parti-Parti Komponen lain, sejak puluhan tahun yang lalu. Ketiganya: Yang paling mustahak, bagaimanakah kita sebagai rakyat Malaysia, tidak kira apa warna kulit, bangsa, keturunan, mahupun agama, dapat menzahir dan membuktikan kesyukuran terhadap nikmat ini? 6.Persoalannya juga,... cukupkah sekadar menggantung bendera atau berhimpun di sana sini, tanpa roh dan rasa penghayatan akan peri penting pengisian sewajarnya, kepada kebebasan sebuah negara bangsa yang telah diperolehi? 7.Apatah lagi,... dalam pada Bahtera Malaysia sedang belayar dengan lancarnya di samudera biru, kita tidak mungkin sesekali biarkan tanah air ini cuba ditebuk, dirobek dan dibocorkan oleh mana-mana pihak yang durjana. 8.Sebabnya,... sebabnya,... Bahtera Malaysia yang sudah terkembang layarnya ini, kita akan pastikan terus mara membelah gelombang dan tak-kan sesekali berbalik haluan. Saudara dan Saudari Sekalian, 9.Jika dihitung dari segi usia kemerdekaan sejak 31 Ogos tahun 1957, kita sudah menghampiri gerbang 60 tahun, berdiri di atas kaki sendiri. 10.Apa yang pasti,... kurniaan kemerdekaan, bukan sahaja merupakan satu rahmat, bahkan, menurut pandangan para alim dan bijaksana, ia satu karomah kepada bumi Malaya yang kini, menjadi sebuah Malaysia. 11.Dalam mengejar kemajuan, pembangunan luar bandar akan terus menjadi agenda utama Kerajaan, dan diberikan perhatian serius. Jasa-jasa Parti Perikatan dan Barisan Nasional Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian, 12.Merujuk kepada pembangunan Malaysia sebagai sebuah negara maju dalam tempoh 6 dekad, yang dulu bermula hanya daripada kampung-kampung kecil, pedalaman dan perdesaan,... sekarang Alhamdulillah,... mampu berdiri sama tinggi di kalangan negara-negara yang pesat membangun di dunia. 13.Malah, Menara Warisan Merdeka setinggi 118 tingkat, yang mula dibina sejak tahun 2014, bakal menjadi bangunan tertinggi di Malaysia dan ke-5 di dunia. Saudara dan Saudari, 14.Adalah hakikat, berjaya dan majunya Malaysia sehingga sekarang, merupakan hasil mahsul usaha gigih pentadbiran cekap dan sistematik oleh Kerajaan Barisan Nasional yang dulunya dikenali sebagai Parti Perikatan. 15.Kerajaan ini, yang mentadbir sejak sekian lama, telah mampu mempertahankan prestasi pencapaian dan rekod cemerlang serta terus meletakkan Malaysia di atas landasan kemakmuran. 16.Selain itu, kita sewajarnya berbangga jua, bahawa kemerdekaan Malaysia ini diberkati oleh Yang Maha Berkuasa,... kerana jelas terisi dengan kejayaan dan kemajuan, yang sebetulnya tidak terbayang dek fikiran, tidak ternampak dek mata, tidak terjangkau dek akal, oleh sesiapa jua, 59 tahun yang lampau. 17.Bahkan, seperti yang ramai maklum,... apa yang kita hadapi ketika itu, hanyalah herdikan-herdikan dan perlian-perlian bahawa, bagaimana mungkin sebuah negara kecil seperti Malaya, dengan masyarakatnya yang berbilang keturunan, boleh berpadu untuk menempa kegemilangan. Kemajuan 6 Dasawarsa Terajuan Kerajaan Barisan Nasional (Dulunya Parti Perikatan) 18.Lantaran itu, sejurus selepas mengambil alih tampuk kepimpinan, saya telah melanjutkan gagasan negara dengan Dasar Transformasi Nasional. 19.Kini DTN, telah masuk tahun ke-7 pelaksanaannya, dan terus membuahkan hasil yang begitu memberangsangkan. 20.Ini semua bukan sekadar omongan kosong, akan tetapi, fakta dan angka-angka pencapaian, diabsahkan serta dipersahihkan oleh Badan-Badan Penarafan Berwibawa pada peringkat antarabangsa. 21.Sebagai contohnya, semasa laporan Program Transformasi Negara yang saya bentangkan pada bulan April lalu, kita bersyukur,... Program Transformasi Kerajaan atau GTP dalam aspek Bidang Keberhasilan Utama Negara, telah mencapai 99 peratus KPI penyampaiannya. 22.Manakala bagi Program Transformasi Ekonomi atau ETP, menerusi Bidang Ekonomi Utama Negara, kita telah berjaya mencapai angka 111 peratus KPI. Melalui inisiatif Pembaharuan Strategik pula, KPI-nya telah menjangkau sasaran 108 peratus. 23.Mutakhir ini, meskipun kita menghadapi ketidaktentuan dan kesuraman ekonomi global, KDNK pada suku kedua tahun ini,... Alhamdulillah,... Malaysia tetap berjaya mencatat perkembangan sebanyak 4 peratus. Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian, 24.Selanjutnya, tidak putus-putus buah-buah kejayaan masak dan meranum atas kerja kuat Kerajaan dan pelbagai agensi. Misalnya, Global Competitiveness Report oleh World Economic Forum, telah meletakkan Malaysia berada di tangga ke-18 pada tahun 2015. 25.Menurut Financial Market Development oleh World Economic Forum Global Competitiveness Ranking 2015-2016 pula, kita berada di tangga ke-9, sebagai satu-satunya emerging market, yang tersenarai dalam sepuluh negara teratas. 26.Malaysia juga diiktiraf oleh laporan Bank Dunia, dari sudut Ease of Doing Business, pada kedudukan ke-21 pada 2010, dan telah naik ke tangga ke-18 pada tahun 2015. 27.Pada segi lain, sebagai sebuah negara Islam contoh yang progresif dan dinamik serta diteladani sebagai role model yang berpegang kepada prinsip wasatiyyah, di persada dunia, daripada perspektif iktisadnya, Malaysia telah menduduki tangga pertama Petunjuk Ekonomi Global Islam 2014-2015, daripada senarai 70 buah negara. 28.Suka saya menyebut juga bahawa, Malaysia adalah negara penerbit sukuk terbesar dunia, yang merangkumi hampir 55 peratus daripada jumlah sukuk terkumpul global yang bernilai melebihi 320 bilion dolar Amerika setakat penghujung 2015. 29.Fakta-fakta ini, ternyata antara bukti kukuh yang menyangkal tohmahan-tohmahan meleset oleh segelintir golongan bahawa, kononnya Malaysia adalah negara yang gagal, atau a failed state. Memelihara Keselamatan dan Keamanan. Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian, 30.Di atas segalanya,... Kerajaan tidak akan berkompromi dengan isu keselamatan negara. Hakikatnya, Mesyuarat Keselamatan Negara bersidang beberapa kali setiap bulan, dalam langkah berwaspada, akan ancaman musuh dari luar dan dalam. 31.Berbanding dengan senario dunia pula, kita berasa simpati, khususnya dengan nasib saudara-saudari seakidah di Timur Tengah, yang masih tidak menentu. Tanah air mereka sedang bergolak, dalam kancah peperangan, yang belum tertampaknya cahaya kedamaian. 32.Secara umumnya, kita bersyukur tidak terhingga, lantaran negara kita masih diperkekalkan oleh Tuhan dalam keadaan aman dan sentosa. 33.Berhubung ini, saya mengajak para hadirin dan hadirat,... kita berikan penghargaan yang bersemangat kepada para perajurit serta anggota keselamatan yang telah berkorban siang dan malam demi keamanan Malaysia. Syabas dan satu tepukan gemuruh buat semua pasukan keselamatan negara. Rancangan Malaysia Ke-11 Saudara dan Saudari Sekalian, 34.Ketikamana melangkah bulan Mei tahun 2015, saya telah membentangkan Rancangan Malaysia Ke-11. Rancangan ini, merupakan pelonjak akhir negara memasuki gelanggang High Income Advanced Economy. 35.Sekalipun kemelut ekonomi global masih bergelora, Kerajaan Barisan Nasional terus mengambil keputusan yang berhemah dan menjadi Kerajaan yang bertanggungjawab agar rakyat tidak terbeban dengan keadaan semasa. 36.Justeru,... sebarang ehwal kebajikan dan kepentingan masyarakat terbanyak, pasti didahulukan. 37.Antaranya, perkara pokok tentang kehidupan adalah lantai tempat berpijak, bumbung tempat berteduh daripada hujan dan panas untuk diri serta keluarga. Dalam hal ini, usaha membina rumah mampu milik kepada rakyat akan tetap kita laksanakan. 38.Contohnya, bagi menghargai penjawat awam, Kerajaan telah meluluskan lebih 82 ribu unit kediaman, di bawah inisiatif Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia. 39.Selanjutnya, kita juga telah melaksanakan projek-projek perumahan mampu milik seperti PR1MA, Rumah Mesra Rakyat, Perumahan Felda serta Felcra, selain memperkenalkan Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama dan peruntukan Pemulihan Projek Perumahan Swasta Terbengkalai. Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian, 40.Bila bercakap tentang negara maju, pengangkutan awam merupakan nadi kepada mobiliti rakyat seharian. Public transportation menjadi satu keperluan, yang harus dibangunkan oleh Kerajaan yang berdaya saing menuju kemajuan. 41.Indeed,... the fact is,... providing an efficient, fast, safe and affordable public transportation is a must for a nation that aspires to be a developed nation like Malaysia. 42.Lantas, di era pentadbiran ini, saya mahu terlakarnya dalam sejarah akan usaha serius Kerajaan yang saya pimpin, dalam pelaksanaan projek pengangkutan awam yang terbaik jaringannya, bagi memenuhi tuntutan kepesatan kini apatah lagi masa hadapan. 43.Antaranya, Kerajaan kini begitu komited dengan beberapa projek pengangkutan awam, berskala sederhana dan mega, seperti sambungan laluan LRT Ampang dan Kelana Jaya, yang akan mendatangkan manfaat kepada sekurang-kurangnya 300 ribu pengguna setiap hari. 44.Pada minggu lepas pula, saya baru merasmikan projek LRT3 bagi jajaran Bandar Utama-Klang meliputi 36km, mempunyai 25 buah stesen yang dijangka siap pada tahun 2020. 45.Laginya, saya secara peribadi,... dan bagi pihak Kerajaan,... juga rakyat teramai,... tentunya tidak sabar ternanti-nanti, operasi jajaran fasa pertama MRT Sungai Buloh-Kajang, yang akan dilancarkan pada 15 Disember tahun ini. InsyaAllah! 46.Bercakap tentang hal pengangkutan juga, marilah kita sama-sama memberi tepukan perangsang dan syabas kepada kejayaan the Pocket-Rocket-Man, jaguh lumba basikal negara, yang meraih pingat gangsa dalam acara keirin di Temasya Olimpik Rio 2016,... saudara Azizulhasni Awang (yang turut bersama kita pada malam ini). Saudara dan Saudari, 47.Sebetulnya, sejak 59 tahun kita meraih kemerdekaan, gagasan demi gagasan, rancangan demi rancangan dan tidak terhitung dasar-dasar yang diperkenalkan oleh Kerajaan dalam membina kejayaan negara. 48.Dalam era kepimpinan Kerajaan ini, Dasar Transformasi Nasional, turut melaksanakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan atau NBOS. 49.Syukur kepada Allah, melalui pelbagai inisiatif di bawah NBOS, sejak tahun 2009, Kerajaan telah berjaya menjimatkan sejumlah 3.5 bilion ringgit perbelanjaan negara, melalui kerjasama strategik antara PDRM dengan ATM, yang telah memecahkan tembok silo antara agensi. 50.Pelaksanaan Pusat Transformasi Bandar atau UTC pula, telah memanfaatkan lebih 35 juta pengguna, bagi menyelesaikan segala urusan berkaitan perkhidmatan Kerajaan. 51.Realitinya, mana ada negara dalam dunia yang Kerajaannya menyediakan Pusat Khidmat Sehenti yang beroperasi 7 hari seminggu, dari pukul 8 pagi hingga 10 malam. 52.Inilah dia bukti bahawa, Kerajaan Barisan Nasional amat prihatin dengan keperluan rakyat, demi memudahkan urusan semua. 53.Begitu juga dalam ehwal pendidikan. Dari peringkat rendah sampai ke menengah semuanya percuma. Pada peringkat tertiari yakni di universiti-universiti awam, kini hampir 90 peratus kos pengajian ditanggung oleh pihak Kerajaan. 54.Bagi sudut kesihatan pula, bermula dengan pelbagai rawatan pesakit, hinggalah kepada melahirkan anak, segalanya pun hampir percuma di hospital Kerajaan, kecualilah yang melibatkan kes-kes rumit. Ini melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak kira-kira 23 bilion ringgit setahun. 55.Saya dimaklumkan, baru-baru ini oleh seorang rakan, yang bekerja dengan Kerajaan, bapanya telah dimasukkan ke IJN untuk menjalani angiogram jantung. Bayaran yang dikenakan hanyalah 12 ringgit, berbanding ribuan ringgit kosnya kalau di hospital swasta. 56.Menurut Laporan Institut Penyelidikan Khazanah, dalam akhbar New Straits Times hari ini muka surat 13, jangka hayat rakyat Malaysia dijangka meningkat daripada 65.5 tahun kepada 77.4 tahun bagi wanita, dan 61.6 tahun kepada 72.5 tahun bagi kaum lelaki. Ini adalah perbandingan dari tahun 1970 hingga 2014. 57.Selain itu, terlalu panjang senarainya, kalau hendak kita sebut satu persatu, akan pelbagai lagi program bantuan oleh pihak Kerajaan kepada rakyat sebagai berkongsi nikmat kemerdekaan dan kemakmuran negara. 58.Berkait BR1M, meskipun Kerajaan berniat ikhlas untuk membantu golongan sasar yang benar-benar memerlukan pertolongan, ada pihak yang sesedap mulut, menuduh dan menghina para penerima BR1M. 59.Sedangkan, bagi kisah hidup sebenar individu rakyat contohnya Puan Dayah Anak Kepada Mamut, dari Rumah Panjang di Sarawak, yang mempunyai 4 orang anak, BR1M adalah bantuan dan rahmat yang telah dapat meringankan kos keluarga dan persekolahan anak-anaknya. 60.Tambahan, berdasarkan dapatan sekumpulan 35 pakar ekonomi di Britain sepakat bahawa, BRIM adalah kaedah terbaik bagi membantu golongan sasar. 61.Di samping itu, berkat berbagai usaha dan program yang dilaksanakan oleh Kerajaan, seperti gaji minima dan latihan kemahiran, purata pendapatan isi rumah B40 ternyata telah meningkat lebih cepat, berbanding golongan lain seperti M40. Saudara dan Saudari, 62.Berbicara tentang GST pula, Alhamdulillah, keyakinan dan keberanian politik pihak Kerajaan dalam pelaksanaannya, di sebalik tentangan dan fitnah oleh pelbagai pihak, kini ternyata telah menjadi faktor penyelamat kepada ekonomi Malaysia. 63.Selanjutnya, melalui pelbagai dasar Kerajaan yang bersifat inklusif, menurut laporan Program Transformasi Negara atau NTP, ternyata,... tidak kira apa kaum dan golongan,.... ramai yang telah berjaya meraih kejayaan yang lebih tinggi dalam hidup dan kerjaya,... sekaligus merubah untung nasib keluarga kepada kehidupan yang lebih selesa. 64.Menjengah ke hadapan pula, kita tidak tiba di titik kemerdekaan 6 dekad ini untuk gagal. Malah, kita berhasrat untuk melihat Malaysia terus melangkah jauh sebagai sebuah negara bangsa yang unggul dan dapat dipermegahkan di persada global, bukan setakat ini sahaja, malah menjangkaui atau beyond 2030. 65.Menyentuh soal ini, jika ingin melihat Malaysia kekal merdeka,...berdaulat,... damai,... dan tersanjung oleh seantero dunia sebagai Bintang Timur yang berkerlipan cahayanya,... Moments of Unity atau Detik-Detik Kebersatuan, perlu dicambah serta disemarakkan. 66.Jadinya, pada malam ini, saya ingin berkongsi kisah-kisah harmonis penduduk Malaysia, yang diperlambangkan melalui Detik-Detik Kebersatuan oleh rakyat daripada pelbagai kaum. 67.Kisah pertama, contohnya pada malam perlawanan akhir badminton Olimpik baru-baru ini. Saya dan isteri telah turut sama turun padang ke dataran Putrajaya, untuk menyaksikan saat-saat yang mendebarkan tersebut. 68.Apa yang menarik dan istimewanya,... saya perhatikan pada malam tersebut, majoriti para penyokong Datuk Lee Chong Wei di situ, terdiri daripada orang-orang Melayu yang bersorak sorai penuh semangat tanda sokongan kepada Raja Badminton Malaysia. 69.Inilah antara satu contoh, Moments of Unity, atau Detik-Detik Kebersatuan berasaskan sukan. 70.Bersempena itu, marilah kita beri tepukan tahniah kepada Datuk Lee Chong Wei, yang datang pada malam ini. Beliau, buat kali ketiganya menghadiahkan Malaysia pingat Perak pada kejohanan Olimpik 2016. Syabas,...syabas Datuk Lee Chong Wei! Saudara dan Saudari, 71.Ingin saya kongsikan bersama, di sebalik kisah kejayaan beliau ini, selain daripada penghargaan terhadap jurulatih-jurulatihnya kini, Datuk Lee Chong Wei, seringkali tidak pernah lupa akan budi dan jasa juga bimbingan mentor, merangkap bekas jurulatih-nya, yang telah mengasuh dan mendorong kejayaannya, yakni Dato Misbun Haji Sidek. 72.Inilah dia indah dan ajaibnya Malaysia... Semangat kebersatuan dan keeratan,... merentasi sempadan kaum,... saling bantu membantu, saling harga menghargai,... 73.Bukan atas nama Orang Melayu, Orang Cina, Orang India, Orang Iban, Kadazan, Murut, Dusun, Orang Asli, penduduk keturunan Siam, ataupun yang lain-lain,... namun lebih mulia dan penting dari itu,... semua berpadu atas nama Bangsa Malaysia! 74.Tentunya saudara dan saudari, tepukan tahniah kita berikan kepada jaguh-jaguh badminton dalam acara beregu lelaki dan campuran, yang turut menyumbang pingat-pingat perak kepada negara, yakni saudara Goh V Shem, Tan Wee Kiong, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying. 75.Jelasnya, pada kita, semua mereka adalah wira dan wirawati bangsa Malaysia. Atas sebab itu, Kerajaan telah menambah insentif kemenangan sebanyak 200 ribu ringgit lagi, sebagai tanda penghargaan atas kejayaan yang dicapai. Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian, 76.Kisah kedua adalah tentang Gerai Nasi Kandar paling terkenal di Ipoh yang popular dengan gelaran Vanggey. 77.Istilah vanggey,... vanggey ini dalam bahasa Tamil bermaksud mari,...Mari,... Jika berkunjung ke Ipoh, kata orang, tidak sah kalau tak pekena nasi vanggey. 78.Apa yang uniknya, nasi kandar vanggey ini beroperasi di sebuah restoran milik keluarga Cina iaitu Rumah Tumpangan dan Kedai Kopi Yong Suan dan kebetulan telah mula berniaga sejak tahun kemerdekaan yakni 1957. Istimewanya, para pelanggan terdiri daripada pelbagai keturunan dan bangsa. 79.Nasi kandar vanggey di restoran itu dinikmati bersama dengan minuman Teh Ais Peram, yang juga popular di kedai Cina tersebut. 80.(Saya sendiri pun dah makan nasi vanggey ni,... cuma makan nasi bungkus je,... satu hari nanti, saya sendiri akan ke gerai vanggey, dan untuk makluman wakil pemiliknya pun hadir pada malam ini,... Mohd Nihmathullah bin Syed Mustafa) 81.Ini satu lagi ceritera Detik-Detik Kebersatuan yang sungguh menarik sebagai simbol Moments of Unity. Saudara dan Saudari, 82.Satu lagi kisah dari sudut budaya yang boleh dijadikan teladan Detik-Detik Kebersatuan adalah Kartunis Lat, atau nama sebenarnya Mohammad Nor Khalid,... melalui bukunya yang sangat popular dan tersohor bertajuk Kampung Boy. 83.Hasil karya kreatif kartun beliau, melatarkan kisah kehidupan sebenar masyarakat Malaysia yang majmuk. Saya pasti hampir kesemua kita kenal watak-watak yang ditonjolkan dalam jalan cerita beliau. 84.Selain daripada watak utama Lat dan rakan-rakannya, yang terdiri daripada anak-anak Melayu dan kaum-kaum lain, ada watak cikgu bahasa Inggeris keturunan Cina bernama Mrs Hiew, yang berbadan besar, garang dan berkaca mata tajam. Ada pula watak lelaki Punjabi yang memakai turban dengan dialog-dialog yang melucukan dan mencuit hati kita. 85.Ternyata, kerja-kerja tulisan dan lukisan oleh Datuk Lat ini digemari oleh banyak kaum, sekaligus menjadi satu lagi simbol Detik-Detik Kebersatuan dan penerimaan rakyat Malaysia akan hakikat kita hidup sebumbung dalam sebuah masyarakat yang majmuk dan berbilang keturunan. 86.Saya difahamkan, Datuk Lat ada bersama kita di sini, tahniah dan tepukan untuk beliau! 87.Begitu juga dalam filem Ola Bola, yang telah membangkitkan semangat kebersatuan rakyat Malaysia, dalam membentuk sebuah negara bangsa yang hebat lagi bermartabat. 88.Berbalik kepada Datuk Lat, saya diberitahu bahawa beliau adalah abang kepada Encik Mamat Khalid, seorang pengarah filem terkenal dengan genre kehidupan sebenar masyarakat majmuk Malaysia. Saya pasti ramai tahu akan filem komedi seram dengan kutipan pecah panggung oleh Mamat Khalid bertajuk Hantu Kak Limah Balik Rumah. 89.Jelasnya, banyak lagi faktor yang boleh menjadi pemangkin kepada Detik-Detik Kebersatuan, dan tidak terhenti pada contoh-contoh di bidang sukan dan sosio-budaya itu tadi. 90.Misalan lain, saban tahun pabila menjelangnya hari-hari perayaan besar terutamanya Aidil Fitri, jendela silaturrahim 1Malaysia yang menyuburkan Detik-Detik Kebersatuan melalui Budaya Rumah Terbuka begitu menyerlah, sehingga menggamit pelancong-pelancong antarabangsa. Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian, 91.Bertolak dari kemerdekaan,... kemajuan yang kita tempa dari masa ke semasa, adalah demi rakyat Malaysia keseluruhannya. Kerajaan tidak akan meminggirkan mana-mana pihak, sekalipun apa-apa kumpulan etnik yang kecil bilangannya. 92.Pucuk Pangkalnya,... di mata dan di hati kita,... setiap seorang dan setiap etnik rumpun dan keturunan, adalah 1Malaysia. 93.Pada sudut ini, bertepatan untuk kita memberi tepukan syabas dan penghargaan kepada dua Ratu Terjun Negara Cik Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong yang telah mengharumkan sukan terjun air negara dengan merangkul pingat Perak, di temasya Olimpik Rio. 94.Tampaknya, jelas sebagai yang saya nyatakan merdeka dan semangatnya adalah milik semua. Khususnya Cik Pandelela, anak gadis Bidayuh dari Sarawak ini, membuktikan tidak semestinya wakil etnik kecil tidak mampu menjadi seorang jago-an. 95.Berkait ini, selamat maju jaya juga saya ucapkan kepada atlet-atlet paralimpik negara yang akan berjuang di Paralimpik Rio September nanti. 96.Sesungguhnya,... saudara dan saudari,... kemerdekaan ini adalah nikmat untuk Malaysia seluruhnya. Bermula dari utara Semenanjung Permata Nilam, ke hujung Sabah negeri di Bawah Bayu, membawa ke pedalaman Sarawak Bumi Kenyalang. 97.Dalam hal demikian, projek Lebuhraya PAN Borneo yang bebas tol, sepanjang 2,325km, yang bermula dari Telok Melano ke Lawas di Sarawak, membawa pula hingga ke Sabah, dari Sindumin ke Tawau, merupakan satu lagi lambang kemajuan, sebuah Malaysia yang merdeka. 98.Terbaru di Semenanjung pula, kita akan membina Keretapi Berkelajuan Tinggi atau HSR yang bermula dari Kuala Kumpur hingga ke Singapura. Ini akan memberikan manfaat besar kepada connectivity dan kepesatan ekonomi kepada Malaysia di rantau ini. Bagaimana Kita Mengisi Nikmat Kemerdekaan. Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian, 99.Oleh sebab itulah, dalam pada kita bersusah payah memupuk solidariti dan perpaduan, kita tidak mahu terjadinya Moments of Disunity, yakni Babak-Babak atau Episod Perpecahan, yang akan memusnah dan meranapkan segala yang telah terbina. 100.Pokoknya, sanggupkah kita membiarkan tanahair ini, hancur berkecai, punah dalam sekelip mata dek angkara segelintir pengkhianat. Kata orang dulu-dulu, biar putih tulang, jangan putih mata. Para pendurjana dan petualang bangsa serta negara ini, mesti kita tentang habis-habisan. 101.Di ketika ini, yang kita berdepan bukan setakat musuh luar, sebaliknya penjajahan bentuk baharu, yang meresap dan meracun minda rakyat, sehingga melibatkan tangan-tangan kotor orang dalam negara sendiri. 102.Dalam hal ini, teringat saya kata-kata tokoh pejuang tersohor, Mahatma Gandhi yang menyebut bahawa, makna kemerdekaan itu adalah pendisiplinan dan kepatuhan kepada rule of law. 103.Bukanlah seperti apa yang cuba diperbuat oleh segelintir pihak yang hendak menjatuhkan Kerajaan secara tidak demokratik, membuat referendum-referendum, deklarasi atau menghasut dan meracun pemikiran rakyat untuk berdemo di jalanan. 104.Sedangkan dalam ajaran Islam sendiri dan dibahaskan oleh para Ulama Muktabar bahawa, matlamat tidak sesekali menghalalkan cara. 105.Pada hemah saya lagi, merdeka itu ertinya, berdiri di atas kaki sendiri, dengan acuan dan kemahuan kita sendiri. Merdeka itu ertinya bebas dari campurtangan asing. 106.Lebih besar dari itu, merdeka bererti sebuah anjakan dan transformasi dari kemunduran kepada kemajuan dan keunggulan. Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian, 107.Akhir kalam,... kepada Allah kita mohon pertolongan dan Ingatlah!,...kita punya satu kesamaan sebagai Anak Malaysia, berkongsi satu tujuan, satu matlamat,... yakni impian 1Malaysia. Justeru, 108.Marilah,... sekalian dalam Dewan Merdeka ini, sama-sama bangun,...bangun,... dan berdiri,... Genggamkan erat tangan masing-masing seperti ini,...dengan rakan-rakan di sebelah kanan dan sebelah kiri saudara-saudari...(Pastikan yang lelaki dengan lelaki... saudari-saudari pula menggenggam tangan yang perempuan). Lalu,... 109.(Kalau semua sudah bersedia,...) Ayuh ucap dan lafazkan bersama-sama saya,... bahawa...Kami,... rakyat Malaysia,... Sehati Sejiwa,... Berikrar,... Akan terus Berpadu,... dan Berjiwa Besar,... Demi,... masa depan Malaysia. Sekali Merdeka,... selamanya Merdeka, MERDEKALAH MALAYSIA! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Sekian, terima kasih. -- Bernama