suria

Pasar Sementara Akan Dibina Di Bachang

Idris Haron.

MELAKA: Kerajaan negeri Melaka dalam proses pengambilan tanah bernilai RM6 juta di Bachang bagi membina pasar sementara untuk menempatkan peniaga dari Pasar Besar Melaka Sentral di Peringgit.

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata, peniaga itu diarahkan berpindah ekoran keadaan struktur bangunan Pasar Besar itu yang tidak selamat.

Beliau berkata, pasar sementara itu akan dibina di kawasan seluas 2.4 hektar di sebelah Pusat Servis Bas Panorama di sini dan dijangka akan mengambil masa kira-kira empat bulan untuk disiapkan.

"Semua reka bentuk bagi pasar sementara ini telah ada dan kita hanya menunggu masa untuk memulakan pembinaan bila proses pengambilan tanah selesai.

"Ini memerlukan kesabaran daripada semua pihak dan kita (nasihat) jangan mudah terpengaruh dengan mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) yang tidak ada akal dan tidak faham tentang keperluan keselamatan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini, Selasa.

Jelasnya, kerajaan juga sedang melihat dan mengkaji tapak yang sesuai bagi membangunkan pasar kekal dan ia dijangka mengambil masa beberapa tahun.

Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) mengesahkan masih terdapat pergerakan tanah yang aktif di bawah Pasar Besar Melaka yang boleh mengundang bahaya sekiranya pasar itu tidak dikosongkan dan diruntuhkan segera. - BERNAMA

Bachang, pasar sementara, Idris Haron

Artikel Berikut

Artikel Lain