HULU TERENGGANU: Polis berjaya membongkar kegiatan penjualan dadah di kawasan peranginan Tasik Kenyir dekat sini selepas menahan seorang buruh di sebuah rumah bot, di Jeti Tok Lawit di tasik itu Isnin. Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu ASP Mohd Haki Hasbullah berkata lelaki berumur 32 tahun berasal dari Permaisuri, Setiu itu diberkas kira-kira pukul 11 pagi ketika cuba melarikan diri daripada pihak polis. "Hasil pemeriksaan di badan mangsa kami menjumpai 19 biji pil dipercayai pil kuda dan dua botol plastik lutsinar dipercayai dadah heroin yang disorokkan di dalam sebuah beg, dan kesemua dadah bernilai RM10,000," katanya dalam sidang media, di sini Selasa. Katanya serbuan di rumah bot itu dilakukan hasil risikan sejak sebulan lepas dan suspek dipercayai menyasarkan para pekerja rumah bot di kawasan tasik itu untuk menjual dadah yang dipercayai diperoleh dari negara jiran. Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek yang positif dadah jenis methamphetamine telah menjadikan jeti pengusaha rumah bot sebagai tempat pengedaran dadah sejak setahun lalu. Suspek yang mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah direman sehingga 5 September ini untuk siasatan, katanya. - BERNAMA