suria

Umno Perlu Ambil Kira Kepentingan Bukan Melayu - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid (dua, kanan) melancarkan Buku Biru '10 Sebab Budiman Pilih UMNO' selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Sungai Besar pada Rabu. Turut serta Noh (kiri), Jamal (dua, kiri) dan Budiman. Foto Bernama

SABAK BERNAM: Umno perlu mengambil kira kepentingan golongan bukan Melayu kerana parti tunjang Barisan Nasional (BN) itu sentiasa mendapat sokongan mereka dalam pilihan raya umum selama ini. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO masih dan tetap memerlukan sokongan pengundi bukan Melayu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) nanti.

"Pada pilihan raya umum ke-14 akan datang, UMNO sebagai tulang belakang BN mesti ambil kepedulian, kepentingan orang bukan Melayu untuk membantu kemenangan BN selain deposit sokongan orang Melayu," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Sungai Besar di sini, Rabu.

Ahmad Zahid yang menjalankan tugas timbalan presiden Umno itu berkata, kemenangan BN di Sabah dan Sarawak juga selama ini adalah kerana sokongan dan dukungan bukan Bumiputera.

Justeru, beliau mahu semua pemimpin Umno perlu dilihat sebagai pemimpin dan ketua yang adil agar pengundi dan rakyat terus menghargai dan menyokong BN.

Selain itu, timbalan perdana menteri turut mengingatkan pemimpin Umno supaya sentiasa mendahulukan perpaduan dan persiapan menghadapi PRU-14 akan datang daripada memfokuskan kepada pemilihan parti. 

"Apa maknanya jawatan dalam parti tetapi kalah pilihan raya umum?," katanya. 

Turut hadir Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunus. 

Terdahulu, Ahmad Zahid turut melancarkan buku hasil nukilan Anggota Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi berjudul "Buku Biru: 10 Sebab Budiman Pilih Umno". - Bernama

Umno

Artikel Lain