suria

Enam Rakyat Malaysia Antara 115 Kes Zika Di Singapura

SINGAPURA: Sebanyak 57 daripada 115 kes yang disahkan positif jangkitan virus Zika setakat ini adalah warga asing yang menetap dan bekerja di Singapura, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) negara itu pada Khamis.

Ia melibatkan tujuh kewarganegaraan, termasuk 23 kes merupakan warga China.

Mereka terdiri daripada 15 warga India, 10 (Bangladesh), enam dari Malaysia. Masing-masing seorang dari Indonesia, Myanmar dan Taiwan.

"Kesemuanya mengalami kesakitan ringan. Kebanyakan mereka sedang dipulihkan manakala yang lain pulih sepenuhnya," menurut Kementerian Kesihatan Singapura.

Seorang wanita warga Malaysia yang menetap dan bekerja di Aljunied dikenal pasti sebagai kes pertama terkena jangkitan di negara itu pada Sabtu lalu.

Bilangan mereka yang dijangkiti Zika di Singapura meningkat kepada 115, menurut kementerian itu pada Rabu malam.

Seorang wanita hamil yang tinggal di kawasan Aljunied Crescent dan Sims Drive merupakan antara kes yang disahkan pada Rabu.

Gejala Zika ialah demam, ruam, sakit sendi, sakit otot, mata merah dan sakit kepala yang ringan. 

Ia boleh menyebabkan kecacatan pada bayi sekiranya ibu yang mengandung terkena jangkitan tersebut. - The Straits Times/ANN


Zika

Artikel Berikut

Artikel Lain