KUALA LUMPUR: Menyatukan suara keamanan dari rantau Asean dalam mempromosi nilai kesederhanaan Islam sebagai Addin bukan perkara mudah. Selepas Tregedi 11 September, fenomena Islamophobia bukan sahaja menjejaskan reputasi Islam di Barat, malah turut merebakkan stigma di kalangan penduduk bukan Islam dalam komuniti Asean. Islamophobia memasuki era lebih kritikal berikutan ancaman keganasan Daesh di Asia Barat dan Eropah serta wujudnya gerakan bersenjata pro Daesh di beberapa negara Asean. "Islam mewakili hampir 45 peratus populasi Asean yang didiami 800 juta penduduk. Adalah penting sebagai agama terbesar dalam rantau ini, Islam menjadi kerangka utama dalam membina hubungan keamanan di kalangan warga Asean," kata Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Izelan Basar. Oleh itu, jelas Izelan, TV Alhijrah mengambil inisiatif menganjurkan Konsert Rapatkan Saf Keamanan Sempena 1438 pada 2 Oktober ini. "Maal Hijrah tidak wajar dijadikan sekadar perayaan Tahun Baharu yang hanya sehari. 1438 Hijrah wajar dijadikan Tahun Keamanan. TV Alhijrah berusaha ke arah itu," katanya. Konsert muzikal Islami bertema keamanan itu akan membabitkan persembahan artis dari sepuluh negara Asean dan akan dipancarkan secara langsung di TV Alhijrah. "Kami menawarkan siaran langsung ini secara percuma kepada semua stesen televisyen tempatan serta rakan penyiaran seluruh Asean terutama di Indonesia," katanya. Konsert selama dua jam itu akan dipancarkan dari Studio ABS Cyberjaya dalam usaha TV Alhijrah menjadikan bandar raya spot digital itu sebagai kota seni berteknologi tinggi dan bernafas Islami. "Senarai artis persembahan akan kami umumkan segera sebaik sahaja urusan dan rundingan selesai," katanya. Adalah difahamkan, nama-nama besar seperti Ebiet G Ade, Iwan Fals, Opick, Ramli Sarip, M. Nasir serta artis muda Islami seperti Al Mawlid dan Caravan Of Praise berada dalam senarai utama.