LANGKAWI: Semangat saling menghormati dan membantu yang telah lama wujud dalam kalangan pemimpin dan anggota Umno, mampu memacu kecemerlangan parti untuk terus bersama rakyat, kata Naib Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Beliau berkata semangat kesalingan ini semakin penting semasa Umno menghadapi ujian getir untuk membuktikan keupayaannya mengekalkan keyakinan rakyat. "Kita perlu terus bersama pemimpin, sama ada semasa senang atau susah kerana kita adalah pengikut yang taat setia kepada parti," kata Ahmad Zahid, yang turut menjalankan tugas Timbalan Presiden Umno semasa merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Langkawi di sini Jumaat. Menurutnya Umno yang akan mencecah usia 70 tahun pada tahun depan sudah menghadapi banyak pengalaman apabila pemimpin-pemimpinnya menghadapi pelbagai dugaan yang menguji keupayaan mereka untuk terus menerajui parti dan memimpin rakyat. "Hanya pemimpin yang mempunyai daya tahan, daya juang dan daya saing yang tinggi sahaja yang dapat melepasi ujian ini," katanya.