suria

Azmin Gembira Anwar-Mahathir ‘Berdamai’

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melahirkan rasa gembira dengan perkembangan terbaharu yang menyaksikan pertemuan bersejarah antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas 18 tahun.

Menurut Azmin yang juga Menteri Besar Selangor, pertemuan berkenaan membuktikan kedua-dua tokoh berkenaan sanggup mengetepikan sejarah lampau demi masa depan negara dan persediaan pembangkang menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.

"Saya dan rakyat Malaysia gembira menyaksikan Anwar dan Dr Mahathir bertemu kembali setelah 18 tahun terpisah.

"Pertemuan ini membuktikan kedua tokoh memiliki jiwa besar tatkala negara berdepan dengan krisis kepimpinan dan memerlukan satu hala tuju untuk menyelamatkan negara dan memulihkan ekonomi,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.


Pada Isnin, Dr Mahathir hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di Jalan Duta bagi memberi sokongan kepada Anwar berhubung kes berkaitan Akta Majlis Keselamatan Negara.

Kedua-dua mereka bersalaman buat kali pertama dalam tempoh 18 tahun selepas Mahathir memecat Anwar pada 1998 sebagai timbalan perdana menteri.

Anwar juga dipecat daripada Umno.

Mengulas lanjut mengenai pertemuan tertutup antara Anwar dan Dr Mahathir yang turut dihadirinya bersama Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Azmin berkata, ia dianggap sebagai permulaan kepada perpaduan rakyat.

"Saya yakin ini satu permulaan ke arah perpaduan umat dan pengukuhan parti-parti politik yang progresif sebagai persiapan untuk Pilihan Raya Umum ke-14.

"Dr Mahathir berpeluang bertemu dengan Anwar selama lebih 30 minit secara tertutup untuk membincangkan proses perundangan termasuk beberapa isu-isu lain,” katanya.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan kesalahan meliwat.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain