KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) pada Rabu memutuskan untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.00 peratus. Keputusan itu dicapai menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang bermesyuarat petang ini. Kali terakhir OPR itu diselaraskan pada 13 Julai lepas apabila BNM menurunkan sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus. Menurut kenyataan BNM, pada kadar semasa OPR, tahap akomodatif monetari adalah konsisten dengan pendirian dasar bagi memastikan ekonomi dalam negara terus berada di landasan pertumbuhan mampan dalam keadaan inflasi yang stabil, disokong oleh pengantaraan kewangan ekonomi yang kukuh. Malah, kata bank pusat itu, keadaan kewangan domestik juga kekal stabil sejak mesyuarat MPC terdahulu yang menyaksikan pasaran kewangan terus berfungsi secara teratur. "Institusi kewangan terus beroperasi dengan modal dan penampan mudah tunai yang kukuh serta peningkatan pembiayaan kepada sektor swasta yang sejajar dengan kadar perkembangan aktiviti ekonomi. "Mudah tunai sistem perbankan juga kekal lebih daripada mencukupi," katanya. Secara keseluruhannya, ekonomi diunjurkan berkembang seperti dijangkakan pada 2016 dan kekal berada di landasan pertumbuhan stabil pada 2017. "Inflasi keseluruhan menyederhana kepada 1.1 peratus pada Julai. Ia juga dijangka berada pada paras lebih rendah dalam julat 2 hingga 3 peratus bagi 2016 dan kekal stabil secara relatif pada 2017 memandangkan persekitaran harga tenaga dan komoditi dunia yang lembap serta inflasi global yang rendah secara amnya. "Pertumbuhan Malaysia menyederhana sedikit pada suku kedua tahun ini, berikutan kelemahan eksport bersih dan pengambilan stok, kata BNM. "Bagaimanapun, permintaan dalam negara terus menjadi pemacu utama pertumbuhan dengan penggunaan dan pelaburan swasta berkembang pada kadar lebih cepat. "Bagi masa depan, penggunaan swasta akan terus disokong oleh pertumbuhan upah dan guna tenaga dengan dorongan tambahan menerusi pengumuman langkah-langkah kerajaan untuk meningkatkan pendapatan boleh guna," katanya. Mengulas aktiviti pelaburan, BNM berkata usaha itu akan terus diterajui oleh projek-projek infrastruktur yang sedang dilaksanakan serta perbelanjaan modal dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan. Bagi sektor luaran, pertumbuhan eksport dijangka kekal lemah berikutan kelembapan permintaan rakan negara dagangan utama Malaysia. Di Asia, aktiviti ekonomi disokong oleh permintaan dalam negara berikutan pertumbuhan eksport yang lebih lemah. "Walaupun ketidaktentuan dalam pasaran kewangan antarabangsa telah reda, pasaran sebaliknya kekal mudah terjejas kepada perubahan sentimen. "Melangkah ke hadapan, risiko pertumbuhan global menjadi lebih perlahan adalah tinggi berikutan ketidakpastian terhadap momentum pertumbuhan serta peralihan dasar di ekonomi maju serta isu belum selesai selepas (keputusan) pungutan suara Kesatuan Eropah (EU) di United Kingdom," katanya. BNM juga menegaskan, pihak MPC akan terus memantau dan menilai keseimbangan risiko membabitkan prospek pertumbuhan domestik dan inflasi.