suria

Tun Mahathir Diminta Nyatakan Pendirian

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad diminta menyatakan pendirian sama ada beliau sudah menerima bekas Timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai rakan politik susulan pertemuan mereka di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Isnin lepas.

Naib Ketua Pemuda UMNO Khairul Azwan Harun berkata beliau mempertikai kenyataan yang diberikan Dr Mahathir kononnya kehadirannya bagi memberi sokongan terhadap Anwar yang mengemukakan saman kepada kerajaan berhubung Akta Majlis Keselamatan Negara 2015.

Dalam sidang media di sini pada Rabu, beliau berkata kedua-dua personaliti itu diketahui umum mempunyai sejarah pahit sesama mereka serta melihat tindakan Dr Mahathir itu sebagai mainan politik murahan.

"Tindakan Tun M (Mahathir) jelas menunjukkan beliau mengamalkan matlamat politik menghalalkan cara," katanya.

Di IPOH Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pertemuan Dr Mahathir dan Anwar tidak boleh dipandang ringan, oleh itu UMNO atau Barisan Nasional jangan sesekali beranggapan pakatan mereka tidak menjejaskan parti, sebaliknya terus bersedia menghadapi segala kemungkinan.

"Saya tidak nampak dari segi pendekatan yang dilakukan sebagai perkara di luar daripada kebiasaan tetapi kemungkinan itu akan berlaku.

"Mungkin hari ini berlaku sebegini, esok berlaku pendekatan yang lain lagi sebab niatnya satu sahaja, ingin menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri pada Rabu.

Zambry yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak menyifatkan pertemuan itu sebagai usaha baharu untuk menjatuhkan Perdana Menteri.

"Mungkin disebabkan mereka merasakan untuk jatuhkan Perdana Menteri tidak boleh dilakukan oleh seorang manusia yang bernama Mahathir ataupun dilakukan oleh seorang manusia yang bernama Anwar," katanya.

Dr Mahathir memecat Anwar pada 1998 sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Anwar juga dipecat daripada UMNO. - BERNAMA

Tun M, Mahathir, Anwar Ibrahim, UMNO

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain