BALIK PULAU: Seorang pekerja penghantar barang di sebuah syarikat kargo mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mencederakan jirannya menggunakan senjata, Jumaat lepas. Syamsuri Yusoff, 50, didakwa dengan sengaja telah mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata ke atas jirannya Noor Shahfiza Yusoff, 38, di perkarangan Blok 2F-1, Permatang Damar Laut, Bayan Lepas di sini pada jam kira-kira 12.30 tengah hari, 2 September lepas. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan. Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Mahadi menawarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh tidak mendekati mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes itu selesai. Peguam Datuk V.M Ravindran yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM3,000 atas alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai penghantar barang kargo dan isteri tidak bekerja. Majistret Nur Azzuin Abdul Moati membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Oktober depan untuk sebutan kes itu. Mahkamah turut memerintahkan tertuduh untuk tidak mendekati mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai. - BERNAMA