MERSING: Seorang lelaki warga emas rentung dalam kebakaran di rumahnya di Kampung Teriang Tengah, Sungai Berbuta Besar, Endau, dekat sini awal pagi Rabu. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Endau, Penolong Penguasa Bomba Alias Husin berkata mayat Amin Awang, 92, ditemui di ruang tamu rumahnya oleh sepasukan anggota bomba yang terlibat dalam operasi itu. Beliau berkata kejadian berlaku dalam pukul 3 pagi dan Amin tinggal berseorangan ketika itu, sebaik bomba tiba di tempat kejadian, hampir keseluruhan rumah sudah hangus terbakar. "Pihak bomba mengambil masa lebih kurang dua jam bagi memadamkan kebakaran.Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 6.06 pagi," kata Alias dalam kenyataan di sini Rabu. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Mersing untuk pemeriksaan. - BERNAMA