PETALING JAYA: Operasi pusat jagaan kanak-kanak kini berdepan masalah serius apabila 80 peratus hingga 95 peratus daripada 5,421 pusat jagaan berdaftar besar kemungkinan akan ditutup susulan pelaksanaan gaji minimum. Kerajaan mula melaksanakan kadar gaji minimum pada Julai lalu. Kebanyakan yang mengenakan bayaran kurang RM300 akan menghentikan operasi pada Disember ini. Kaji selidik melibatkan pusat jagaan di Terengganu, Pahang, Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Sarawak menunjukkan hampir semua pusat jagaan yang menyediakan khidmat kepada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana ketika ini bersiap sedia untuk menutup operasi atau sudah berbuat demikian sejak enam bulan lalu. Perkara itu disampaikan Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) Datin PH Wong. "Secara purata, pengusaha pusat jagaan mengenakan bayaran antara RM250 dan RM350 bagi setiap kanak-kanak, bagaimanapun untuk memastikan pusat jagaan dapat bertahan, pengusaha perlu menetapkan sekurang-kurangnya RM450," kata Wong. Pusat jagaan yang beroperasi di rumah teres setingkat lot tepi dibenarkan menempatkan maksimum 20 kanak-kanak dan jika RM300 dikenakan untuk setiap kanak-kanak, pendapatan sebulan hanya RM6,000. "Sekurang-kurangnya mereka perlukan empat kakitangan dan dengan gaji minimum RM1,000 seorang menjadikan RM4,000 untuk gaji pekerja. Bagaimana pula dengan kos operasi?" tanya Wong. Menerusi peraturan gaji minimum, pekerja di Semenanjung layak menerima tidak kurang RM1,000 sebulan, manakala di Sabah dan Sarawak pula RM920. Pihak yang didapati gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan boleh didenda atau menjalani hukuman penjara. "Hasil kajian awal menunjukkan adanya tanda-tanda kebimbangan dengan situasi ini. "Bagiyang mampu meneruskan operasi, mereka telah melaksanakan pelbagai kaedah untuk terus bertahan," kata Wong sambil menambah di Melaka ada pengusaha pusat jagaan yang mengambil pekerja secara kontrak dan sambilan atau mengurangkan tempoh bekerja bagi mengelak pembayaran gaji minimum. Malahan, ada juga yang meminta kakitangannya melaksanakan tanggungjawab tambahan atau mengendalikan kelas pada sebelah petang untuk menambah pendapatan. "Sesetengah pusat jagaan hanya menerima kanak-kanak pada usia yang mudah dikendali, sedangkan permintaan tinggi untuk pusat jagaan yang menerima bayi," katanya. Katanya, tidak seperti perniagaan lain, pendapatan pusat jagaan dihadkan dengan jumlah kanak-kanak yang dibenarkan. Selain itu, katanya, pengusaha juga tidak boleh menaikkan kadar bayaran kerana tindakan itu akan menyebabkan ibu bapa memindahkan anak mereka ke pusat jagaan tidak berdaftar yang berisiko. Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun berkata, kerajaan maklum situasi yang dialami pengusaha pusat jagaan kanak-kanak. "Laporan berkaitan kesan pelaksanaan gaji minimum sedang dirangka. Ia telah mencetuskan kebimbangan dan kami akan menanganinya secara holistik," katanya yang mengetahui pasukan tindakan pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak. Beliau berkata, tiga makmal intensif akan diadakan bulan ini bagi mewujudkan kaedah keselamatan dan penjagaan kanak-kanak berkualiti. Laporan itu akan diserahkan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Karim dalam masa terdekat.