suria

Syukur, Walau Kekurangan Mohamad Ridzuan Mampu Banggakan Negara - Bapa

KANGAR: Syukur, sebak dan terharu, begitulah luahan rasa seorang bapa atas kejayaan diraih anaknya yang serba kekurangan, namun mampu membanggakan negara di mata dunia.

Mohd Puzi Mat Isa, 59, mengucapkan rasa syukur sebaik menerima perkhabaran anaknya Mohamad Ridzuan meraih pingat emas dalam acara olahraga 100m T36 lelaki pada Sukan Paralimpik Rio de Janeiro, Brazil hari ini.

Beliau berharap masa depan anaknya itu akan terus bersinar dan sentiasa kuat semangat meneruskan minatnya dalam bidang sukan.

"Saya lega mengenangkan dia (Ridzuan) kini mampu berdikari. Sebelum ini saya sentiasa sayu mengenangkan bagaimana nasibnya jika saya dan isteri sudah tiada nanti.

"Tetapi rezeki dan ketentuan Allah berikan yang terbaik kepadanya, saya akan terus sokong serta berdoa untuk kejayaan dirinya," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, Ahad.

Katanya seluruh keluarga turut berbangga dan bersyukur dengan pencapaian Ridzuan berkat semangatnya yang tidak jemu berlatih walaupun menghidap masalah fungsi saraf 'celebral palsy' sejak kecil.

Mohd Puzi turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dari semua sudut dan memberi dorongan semangat kepada anak keduanya itu.

"Terutama kepada Am (Affizam Amdan) jurulatih sukarela OKU, yang mula-mula nampak potensi dan sudi membimbing Ridzuan sejak 2006 dan masih terus beri nasihat sehingga sekarang.

"Kerajaan negeri dan pusat juga amat prihatin terhadap perkembangan dan keperluan dari segi latihan dan kewangan, terima kasih banyak-banyak," katanya dalam nada yang kedengaran sedang menangis gembira.

Di Stadium Olimpik Rio, Mohamad Ridzuan memecut ke garisan penamat 100m T36 dengan catatan 12.07 saat untuk pingat emas mendahului Yang Yifei dari China (12.20s) dan Rodrigo Parreira da Silva dari negara tuan rumah Brazil (12.54s).

Malaysia belum pernah memenangi pingat emas dalam temasya sukan tersebut dengan pencapaian terbaik Malaysia adalah satu perak dan dua gangsa pada tahun 1992.

Malaysia menerima pingat emas pertama daripada Mohamad Ridzuan manakala pingat emas kedua diraih Muhammad Ziyad Zolkefli dengan rekod baharu dunia dalam acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) pada temasya tersebut.-- Bernama



Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain