PETALING JAYA: Pemenang pingat emas Paralimpik, Abdul Latif Romly akan menerima tiket penerbangan AirAsia secara percuma sepanjang hayat, kata ketua pegawai eksekutif syarikat penerbangan itu, Tan Sri Tony Fernandes. "Emas ketiga. Dan rekod dunia. Syabas, Abdul Latif, anda menerima penerbangan percuma sepanjang hayat," kata Fernandes di akaun Twitternya, @tonyfernandes pada pagi Isnin. Atlet berusia 19 tahun dari Kangar, Perlis itu yang beraksi dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) mencatat jarak 7.60 meter pada lompatan kelima beliau di Stadium Olimpik, Rio de Janeiro, pada Ahad. Rekod dunia terdahulu iaitu 7.35m adalah milik beliau sendiri yang dicatat pada Kejohanan Olahraga Dunia IPC di Doha, Qatar tahun lepas manakala rekod Sukan Paralimpik iaitu 7.25m dipegang Jose Antonio Exposito Pineiro dari Sepanyol yang dilakukan pada edisi 2012 di London. Selain Abdul Latif, dua lagi rakyat Malaysia yang memenangi pingat emas di Paralimpik Rio. Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi menyumbang pingat emas pertama dalam acara 100 meter T36 lelaki (cerebral palsy). Mohamad Ridzuan mencatat masa 12.07 saat, sekali gus memadam rekod kejohanan 12.25s milik Roman Pavlyk dari Ukraine yang dilakukan di Beijing, China pada 2008. Langkah cemerlang atlet Malaysia diteruskan Muhammad Ziyad Zolkefli melalui acara lontar peluru F20 lelaki (masalah pembelajaran). Pemenang pingat gangsa pada edisi ke-14 di London pada 2012 itu mencipta rekod baharu dunia dalam percubaan pertamanya dengan jarak lontaran 16.40m, sekali gus memadam rekod dunia dan rekod kejohanan milik Todd Hodgetts dari Australia iaitu 16.29m yang juga dilakukan London. AirAsia memberikan penerbangan percuma sepanjang hayat kepada semua atlet Asean yang memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik Rio 2016 baru-baru ini. Fernandes mengumumkan mengenai penerima pingat emas akan diberi ganjaran penerbangan percuma sepanjang hayat, pada 24 Ogos lalu.