PETALING JAYA: Atlet Paralimpik yang memenangi emas boleh menjadi inspirasi buat semua rakyat Malaysia mengetengahkan bakat ke tahap maksimum dengan penuh keyakinan, kata Datin Paduka Chew Mei Fun. "Kita bangga dengan pencapaian mereka. "Bagi atlet kurang upaya, untuk mengharungi persaingan dalam acara sukan yang disertai tentunya mereka berhadapan cabaran yang lebih hebat berbanding atlet normal, Paralimpian memerlukan stamina yan luar biasa. "Kejayaan mereka bukan sahaja membuktikan semangat juang untuk mengatasi kesukaran, juga sebagai inspirasi buat semua," katanya yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada Isnin. Mei Fun berkata, pencapaian di Rio nyata lebih cemerlang berbanding temasya sukan sama di London pada 2012 dimana Malaysia memperoleh pingat perak menerusi Hasihin Sanawi bagi acara memanah dan Muhammad Ziyad Zolkefli mendapat gangsa untuk lontar peluru. "Mereka melakar sejarah dalam bidang sukan bukan sahaja di Malaysia, malahan di peringkat dunia," katanya lagi. Beliau juga menggesa rakyat Malaysia supaya terus memberi sokongan kepada atlet Paralimpik negara untuk bersaing bagi mengumpul lebih banyak pingat buat negara. Pingat emas pertama negara diperoleh menerusi Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi menerusi acara 100 meter T36 (celebral palsy), Muhammad Ziyad untuk emas dan rekod dunia bagi acara lontar peluru (masalah pembelajaran) dan terkini, Abdul Latif Romly yang juga memecah rekod dunia tiga kali pada final lompat jauh (maslah intelektual).