suria

Banyuwangi Melekat Di Hati

INDONESIA sering menjadi pilihan destinasi pelancongan sebahagian besar masyarakat dari Malaysia. Tempoh perjalanan yang singkat, kadar mata wang rendah, bahasa yang mirip dan makanan mudah didapati antara faktor penyumbang negara jiran itu sering dikunjungi.

Jakarta, Bandung, Bali, Surabaya, Bukit Tinggi, Medan dan Lombok kerap mendapat perhatian masyarakat negara ini untuk bercuti bersama keluarga, berbulan madu ataupun bermain golf.

Jakarta dan Bandung begitu popular kerana menjadi syurga beli-belah manakala Surabaya pula dikenali kerana walisongo dan Gunung Bromo dan Bali menjanjikan keindahan pantai serta kedamaian kepada pengunjungnya.

Justeru, ramai pengantin baru dan pasangan yang mahu menyambut ulang tahun perkahwinan memilih Bali sebagai destinasi yang dianggap romantik. Ketika berpeluang menyertari Fam Trip Mitra Asita Bali di antara 7 April dan 12 April 2016, Bali sekali lagi menjadi perhatian 15 peserta dari agensi pelancongan tempatan yang mengikuti kembara itu.

Diketuai Azlinda Shaharudin dari Eye M Hear Holidays, kembara Fam Trip begitu mengujakan kerana kami berpeluang meninjau Bali dan sebuah lagi destinasi yang sangat jarang diperkatakan iaitu Banyuwangi.

Sejurus tiba di Ngurah Rai Airport di Bali pada kira-kira jam 12 tengah hari waktu tempatan, kami disambut oleh wakil dari Mitra Asita, iaitu Ibu Dwi Nurdayati dan Yan Permana yang mewakili Promosi Pelancongan Asia Tenggara.

Perut terasa lapar dan sejurus tiba di Restoran Budesa, semua menikmati masakan tempatan dengan begitu berselera. Kunjungan ke Bali mungkin tidak lengkap jika tidak singgah ke pantainya.

Kami berkunjung ke Pantai Pandawa yang terletak di Kuta Selatan, iaitu kira-kira tiga km dari Nusa Dua. Pantai Pandawa belum begitu dikenali dan jarang dikunjungi.

Suatu ketika dahulu, ia dikenali sebagai pantai rahsia kerana kedudukannya agak tersembunyi, iaitu di bahagian belakang tebing. Lazimnya, ia sering menjadi tumpuan pelancong tempatan dan pelancong asing yang gemarkan aktiviti meluncur air.

Pantai pasir putih dengan panaroma mengagumkan menjadikan Pantai Pandawa yang mula dibangunkan kira-kira 20 tahun lalu tidak jemu dipandang kerana begitu mengasyikkan. 

Setelah itu, kami ke Garuda Wisnu Kencana, sebuah taman budaya seluas 60 hektar di Badung sebelum daftar masuk ke H Sovereign Hotel untuk melelapaskan penat lelah seharian. 

Hari kedua di Bali, kami berkunjung ke Desa Gulingan. Mungkin mencabar bagi sesetengah pengunjung kerana anda perlu menempuh kawasan bendang untuk mengikuti kelas memasak dan menikmati hidangan siang.

Namun pengalaman itu sukar dilupakan dan menyeronokkan apatah lagi setiap peserta program kembara Bali Banyuwangi saling bekerjasama menghulurkan bantuan sebelum tiba di lokasi yang membuka peluang kepada kami untuk menganyam, memasak dan memancing.

Setelah kekenyangan menikmati masakan tradisional Bali dan bergambar kenangan di Desa Gulingan yang menghijau saujana mata memandang, kami berangkat pula ke Cempaka Belimbing Resort yang begitu mendamaikan.

Berhenti minum kopi dan hidangan ringan di resort berkonsep Bali menjadikan anda terlupa seketika hiruk pikuk kota. Resort itu sangat sesuai untuk pasangan berbulan madu dan jika mahu meraikan ulang tahun perkahwinan.

Hampir satu jam di situ, kami bergerak pula ke Lovina yang mengambil masa kira-kira satu setengah jam perjalanan menaiki coaster. Seindah namanya, Lovina mengasyikkan dengan pantai terbentang dan terletak di barat laut Bali dan aktiviti paling popular di Lovina ialah melihat ikan lumba-lumba.

Kami menginap di Aneka Lovina Hotel. Sungguh cantik tempat itu. Terpesona melihat landskap yang mengelilingi hotel berkenaan. Aktiviti kami di situ sudah semestinya mahu melihat ikan lumba-lumba di pantai Lovina.

Seawal jam 5 pagi kami sudah berkumpul untuk bersiap sedia menaiki bot dan menyusuri pantai Lovina. Tiga bot disediakan untuk memuatkan kami 15 orang pada pagi itu. Kedinginan terasa tetapi teruja untuk menyusuri pantai Lovina yang berpasir hitam dan terletak di desa Kalibukbuk, kira-kira sembilan km sebelah barat kota Singaraja.

Satu jam menyusuri pantai Lovina dan melihat ikan lumba-lumba. Bukan rombongan kami saja yang melihat aksi ikan lumba-lumba tetapi banyak bot yang melakukan aktiviti sama. 

Setelah pulang semula ke hotel penginapan, kami bersiap pula hendak ke Banyuwangi melalui feri di Pelabuhan Gilimanuk. Perjalanan kira-kira satu jam boleh dikatakan tidak memenatkan dan tidak memeningkan sehingga kami tiba di Pelabuhan Ketapang, Banyuwangi.

Sejurus tiba kami singgah di Taman Plambangan dan meninjau Festival Sego Cawuk. Dari situ, mengisi perut di Desa Kemiren. Tarian selamat datang dikenali sebagai Gandrung menjadi halua telinga dan mata sebelum menjamu selera. 

Hidangan yang sungguh enak disediakan secara gotong royong oleh penduduk Desa Kemiren tidak dapat saya lupakan. Pecal pitek, tempe dan tauhu goreng, sambal serta ulam-ulaman memenuhi selera pada tengah hari itu.

Setelah makan tengah hari, peserta dipelawa menari tarian tradisional. Ramai yang malu pada mulanya tetapi setelah diajak berkali-kali, mereka akur. Tidak lama selepas itu, pisang rebus dan kuih manis berserta kopi Banyuwangi dihidangkan.

Banyuwangi wajar dikunjungi dan terasa tempoh dua hari dalam kembara ke destinasi pelancongan itu tidak mencukupi kerana banyak yang boleh diterokai seperti Merah Island, Blue Fire Ijen, Bedul, Ireng Beach dan Mustika Beach.

Kami pulang semula ke Bali menaiki feri di Pelabuhan Ketapang dan sejurus tiba di Pelabuhan Gilimanuk, terus ke Plataran Resort Pemuteran. Semua peserta memuji keindahan persekitaran resort berkenaan dan ramai yang tidak jemu merakamkan foto di situ.

Pada hari terakhir di Bali, kesempatan membeli-belah tidak dilepaskan apatah lagi kami menginap di Hotel Ramayana, Kuta. Bukan sekadar berbelanja, ada yang mengambil kesempatan memanjakan diri di spa.

Kembara ke Bali dan Banyuwangi selama enam hari menghiburkan hati. Ingin datang lagi tetapi besar kemungkinan ke Banyuwangi yang berkesan di hati kerana semangat gotong penduduk Desa Kemiren menyambut kedatangan tetamu.

Banyuwangi, Bangi, Gunung Bromo, Bali

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain