KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Kudus Alias meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya di sini pada Isnin kerana sakit tua. Anak kedua Allahyarham, Maznah Kudus, 59, berkata bapanya yang berusia 86 tahun meninggal pada pukul 10.25 pagi. "Bapa dimasukkan ke hospital sejak tiga minggu lalu kerana mengalami kesukaran untuk bernafas," katanya kepada Bernama. Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Bukit Aman sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada pukul 3.40 petang. Abdul Kudus memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada tahun 80-an. Allahyarham meninggalkan isteri Puan Sri Nely Ainor Abdullah, 84, serta enam orang anak. - BERNAMA