suria

Operasi Mencari Bondezan Diteruskan

GEORGE TOWN: Operasi mencari warga Brazil, Lucas Bondezan selepas bot mewah yang dinaikinya terbakar lalu tenggelam pada Jumaat diteruskan kira-kira pukul 7 pagi Sabtu dalam keadaan cuaca buruk.

Bondezan, 24, dilaporkan hilang selepas bot mewah bernilai RM10 juta meletup lalu terbakar di tengah laut sebelum karam kira-kira 15 batu nautika dari Muka Head di perairan Pulau Pinang kira-kira pukul 10 pagi.

Tiga lagi penumpang lain di dalam bot itu berjaya diselamatkan.

Pengarah Maritim Wilayah Utara Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Pertama Maritim Tan Kok Kwee berkata hujan lebat turun sekitar pukul 8.30 pagi tetapi operasi mencari tetap diteruskan.

Sebuah helikopter dan dua kapal - KM Tugau dan KM Kimanis – dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Kami turut menerima bantuan polis marin untuk menghantar sebuah bot bagi membantu operasi tersebut.

"Pemilik bot mewah itu turut menghantar sebuah helikopter yang disewa ke lokasi kejadian kira-kira pukul 11.15 pagi untuk membantu operasi tersebut," katanya.

Operasi mencari dan menyelamat itu meliputi radius 10 batu nautika dari lokasi kejadian.

"Kami belum menghantar pasukan penyelam kerana difahamkan Bondezan tidak tenggelam bersama kapal tersebut," katanya.

Bot mewah itu dalam perjalanan dari Pulau Langkawi ke Singapura pada Khamis dan terbakar lima jam kemudian.

Tiga anak kapal iaitu warga Serbia Novak Novakovic, 28, Rudolf Kolic (Croatia) , 61, dan Jaroslav Horejsek, 37, dari Republik Czech berjaya diselamatkan sebuah bot nelayan kira-kira pukul 3.40 pagi Jumaat.

Artikel Sebelum

Tiada Ancaman IS Di P.Pinang

Artikel Berikut

Artikel Lain