KUALA LUMPUR: Keputusan ujian empat serpihan yang berkemungkinan daripada pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang hilang, dijangka diketahui dalam tempoh kurang tiga bulan. Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata serpihan berkenaan ditemui masing-masing di Afrika Selatan, Mozambique, Mauritius dan Tanzania. "Kita yakin sedikit masa lagi akan dapat jumpa.. contohnya satu lagi serpihan yang turut ditemui di Tanzania mengambil masa dua bulan setengah untuk memastikan ia daripada pesawat berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pertandingan bola keranjang '3 on 3' di Wisma MCA di sini pada Ahad. Jumaat lalu, Liow berkata sejumlah 22 serpihan ditemukan setakat ini di Afrika Selatan, Mozambique, Mauritius dan Tanzania, yang mana dua serpihan disahkan manakala empat lagi hampir pasti daripada pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang hilang manakala selebihnya sukar dikenal pasti kerana tiada nombor siri atau butiran lain di atasnya. Beliau berkata serpihan yang disahkan adalah sebuah flaperon yang ditemukan di Pulau Reunion Julai tahun lepas dan kepingan sayap di Pulau Pemba, di perairan Tanzania pada Jun tahun ini. Liow berkata pencarian MH370 dalam baki kawasan pencarian seluas 10,000 km persegi dijangka selesai pada penghujung tahun ini. Setakat ini, pencarian pesawat itu telah meliputi kawasan seluas 110,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi, di luar pantai barat Australia. Penerbangan MH370 hilang pada 8 Mac 2014, semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing membawa 239 penumpang dan anak kapal. - BERNAMA