PETALING JAYA: Pembangkang berharap dua kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan membantah cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh Suruhanhaya Pilihan Raya (SPR). Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah berkata pihaknya akan mencadangkan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng supaya mengambil langkah berkenaan. Tegasnya, Pakatan Harapan kesal dan mengutuk langkah persempadanan semula kawasan pilihan raya kerana menyifatkan ia sebagai usaha yang hanya akan menguntungkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang. "Ada kemungkinan kerajaan Selangor dan Pulau Pinang...saya katakan kemungkinan sebab ini adalah cadangan kami di majlis setiausaha, kami akan cadangkan kepada Selangor dan Pulau Pinang sebab kerajaan negeri boleh bantah mengikut Perlembagaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Isnin. SPR baru-baru ini mengumumkan untuk melaksanakan Kajian Semula Persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Negeri-Negeri Semenanjung dan Sabah, bermula pada 15 September) lalu. Kajian itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembangaan Persekutuan dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lalu. Selain itu menurut Saifuddin, sekretariatnya juga berharap agar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengambil langkah sama untuk mengemukakan bantahan terhadap cadangan persempadanan semula itu. "Setiap parti dalam Pakatan Harapan juga akan buat bantahan di kawasan yang kami selaraskan. "Kami juga akan bersepakat kerjasama dengan badan lain seperti Majlis Peguam yang sekarang sedang menyediakan panduan untuk buat bantahan. Nak buat bantahan ada cara-caranya dan harus ada panduan," katanya.