suria

1.2 Juta Rakyat Malaysia Tiada Lesen

PADANG BESAR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan sebanyak 1.2 juta rakyat di negara ini yang layak mendapat lesen memandu, tidak mempunyai lesen tersebut, kata Ketua Pengarahnya Datuk Nadzri Siron.

Nadzri berkata JPJ giat mengadakan kempen bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan memiliki lesen memandu kenderaan yang sah serta akan memastikan mereka mendapatkan lesen berkenaan.

"Belum dikenal pasti sama ada mereka ini langsung tidak mempunyai lesen kerana memang tidak mahu memandu, tidak memiliki kenderaan atau semata-mata bergantung kepada pengangkutan awam dan sebagainya.

"Bagaimanapun bilangan mereka ini perlu dikesan puncanya agar tidak berlaku sebarang masalah keselamatan di jalan raya lebih-lebih lagi jika mereka memandu tanpa lesen," katanya.

Nadzri berkata kepada pemberita selepas Majlis Penutup Perkhemahan Kadet JPJ Peringkat Kebangsaan 2016 di Pusat Kokurikulum Jabatan Pendidikan Negeri, Kem Tasoh, di sini yang disempurnakan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi pada Selasa.

Nadzri berkata ia selaras dengan Pelan Keselamatan Jalan Raya 2014-2020 yang menyasarkan pengurangan sehingga 50 peratus kadar kemalangan maut di negara ini yang mana sebanyak 62 peratus adalah membabitkan kemalangan motosikal.

"Sebanyak 18.8 juta kenderaan berdaftar yang masih aktif di negara ini melibatkan 14 juta pemandu. Maka kerajaan perlu memastikan orang ramai dan generasi akan datang mempunyai sikap dan amalan pemanduan yang mengutamakan keselamatan serta mematuhi undang-undang," katanya.

Mengikut statistik, 6,700 kemalangan maut direkodkan tahun lepas dan bilangan itu adalah membimbangkan, apatah lagi 30 peratus daripada jumlah  berkenaan membabitkan pelajar sekolah.

Sehubungan itu, Nadzri berkata program perkhemahan kadet JPJ adalah antara usaha memperkasa disiplin serta jati diri peserta dalam mematuhi peraturan dan undang-undang keselamatan jalan raya sejak di peringkat sekolah.

"JPJ bekerjasama secara NBOS (Strategi Lautan Biru Kebangsaan) dengan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengangkutan dan institut memandu untuk kemudahan para pelajar bagi mendapatkan lesen motosikal (B2).

"Pelajar berumur 17 tahun ke atas layak mendaftar di sekolah untuk proses mendapatkan lesen B2 di mana pegawai JPJ dan institut memandu akan mengendali kelas menunggang motosikal di sekolah-sekolah sebelum pelajar mengambil peperiksaan memandu di pusat ujian," jelasnya.

Program selama tiga hari bermula 18 September lepas melibatkan penyertaan 291 pelajar daripada 17 buah sekolah, 31 guru pengiring dan 60 pegawai JPJ terlibat menyertai perkhemahan itu yang julung kali diadakan melibatkan pasukan kadet JPJ di seluruh negara yang akan dijadikan acara tahunan. - BERNAMA

JPJ

Artikel Sebelum

Gempa Bumi Lemah Landa Ranau

Artikel Lain