suria

Penerbangan MAS Dijadual Semula

- Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Beberapa penerbangan Malaysia Airlines yang berlepas dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur antara 26 dan 29 September dijadual semula berikutan penutupan ruang udara Kuala Lumpur bagi kaji selidik udara.

Kenyataan syarikat penerbangan itu hari ini menyebut bahawa penutupan ruang udara itu membabitkan penerbangan tiba dan berlepas antara 11 pagi dan 11.59 pagi serta antara 2 petang dan 2.59 petang.

"Penumpang digalakkan supaya tiba awal untuk mendaftar masuk dan memastikan semua dokumen perjalanan yang diperlukan telah dikemas kini.

"Bagi penerbangan antarabangsa, pasport dan visa masuk perlu belum tamat tempoh. Bagi perjalanan ke Sabah dan Sarawak, MyKad atau MyKid yang sah adalah keperluan," menurut kenyataan itu.

Sebagai pilihan, Malaysia Airlines berkata penumpang juga boleh mendaftar masuk menerusi laman web www.malaysiaairlines.com atau MHMobile di flymas.mobi yang dibuka antara 48 jam dan 90 minit sebelum berlepas.

Artikel Lain