suria

Umno, BN Kekal Positif Di Sabah - Bung Mokhtar

Datuk Bung Moktar Radin
PETALING JAYA: Umno dan Barisan Nasional (BN) Sabah yakin sokongan rakyat di negeri itu kekal positif dan akan berterusan walaupun terdapat usaha untuk membangunkan sebuah parti politik baharu, kata Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin.

Katanya tindakan bekas Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang berhasrat mengambil alih sebuah parti politik di Sabah dan bertanding pada pilihan raya umum akan datang disifatkan tidak akan menjejaskan BN.

"Saya cukup yakin rakyat kekal dengan Umno dan BN, ini kerana kita sudah mempunyai 'track record' dan 'trademark'... jadi, sudah pasti terdapat perbezaan yang amat ketara," katanya kepada pemberita pada prapelancaran Sambutan 50 Tahun Felcra, di Perkarangan Utama Sri Pentas, di sini Jumaat.

Mohd Shafie dilaporkan mengesahkan beliau telah mengambil alih sebuah parti politik di Sabah yang ditubuhkan sejak 2013.

Parti tersebut kini dalam proses pembaharuan dan permohonan untuk pertukaran nama dan logo serta telah dihantar kepada Pejabat Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Mohd Shafie bagaimanapun enggan mendedahkan nama baharu serta nama parti yang telah diambil alih itu bagi menghormati beberapa pihak dan pengumuman hanya akan dibuat selepas mendapat kelulusan daripada ROS.

Bung Moktar berkata pembangunan kepada rakyat yang selama ini dilakukan oleh BN dan Umno bukan perkara mudah dan memerlukan perancangan berterusan.

"Kerajaan pimpinan BN sentiasa mendengar masalah rakyat dan berusaha menyelesaikannya dengan segera.

"Itu adalah kelebihan kita. Kita mampu bersatu dalam beberapa isu walaupun bukan semua isu tersebut kita boleh setuju tetapi akhirnya kita akan bersetuju dengan isu-isu yang tertentu dan ini akan memberi kelebihan kepada BN sebab kita memahami perjuangan masing masing," ujar beliau.

Artikel Lain