KUCHING: Menteri Muda Kesihatan Awam Sarawak Datuk Dr Jerip Susil mengingatkan kalangan ibu bapa bahawa tindakan menolak pemberian vaksin akhirnya akan mendatangkan lebih banyak kesan buruk kepada bayi mereka dan masyarakat keseluruhannya. Sehubungan itu, beliau menasihati rakyat negara ini agar tidak mudah terikut-ikut dan percaya dengan dakwaan golongan antivaksin. Katanya setakat ini Jabatan Kesihatan telah merekodkan 28 kes di seluruh negara disahkan positif Diphteria dan lima orang dilaporkan meninggal dunia, iaitu tiga di Sabah dan masing-masing seorang di Kedah dan Melaka. "Siasatan mendapati mereka yang meninggal dunia adalah mereka yang tidak menerima suntikan vaksinasi Difteria," katanya ketika berucap merasmikan seminar dan forum bertajuk "Imunisasi: Fakta dan Kontroversi" peringkat negeri, di sini pada Jumaat. Beliau berkata Sarawak walaupun bebas kes Difteria sejak tahun 2012 memandangkan sebilangan besar masyarakat masih mengambil berat tentang vaksinasi anak masing-masing tetapi pemantauan Jabatan Kesihatan negeri mendapati segelintir ibu bapa di negeri ini sudah mula meragui keberkesanan vaksin dan menolak anak mereka diberikan vaksinasi. Katanya, bagi membendung perkara itu, jabatan perlu mengadakan program kesedaran kepentingan imunisasi dan vaksinasi bagi memastikan masyarakat tidak terpengaruh dengan doktor 'google' serta ideologi dan pemikiran yang asing dan kurang tepat berkenaan mesej-mesej kesihatan dalam laman sosial. Menurut Dr Jerip, media sosial seperti WhatsApp, Facebook dan Twitter telah dijadikan sebagai medium oleh golongan tertentu dalam menyebarkan dakyah negatif berkaitan program imunisasi Kementerian Kesihatan Malaysia sehingga wujudnya sekelompok masyarakat yang secara terang-terang menolak atau menentang polisi tersebut. "Mereka yang tidak bertanggungjawab itu dengan sengaja menviralkan bahawa program imunisasi, khususnya untuk bayi kononnya boleh menyebabkan kecacatan bayi, selain mengandungi bahan yang diragui kesuciannya," katanya. Beliau menggesa Jabatan Kesihatan Sarawak mempergiatkan usaha mempromosikan kebaikan dan kelebihan program imunisasi kebangsaan khasnya kepada bayi dan masyarakat amnya di seluruh negeri. - BERNAMA