suria

Impian Pesakit Kanser Jadi Ahli Bomba Tercapai

Adik Harith Maisara yang menghidap Leukimia (tengah) dipakaikan pakaian khas untuk memadam kebakaran oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur pada program 'Make A Wish Malaysia' di Pusat Pembelajaran Awam Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah, Sabtu.

KUALA LUMPUR: Walaupun kelihatan terkejut dengan layanan yang diterima, namun Harith Maisara Mohd Rizal nyata gembira apabila hasrat untuk menyarung uniform ahli bomba akhirnya tercapai.

Kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang menghidap leukimia myeloid akut (AML), diberi peluang  menjalani kehidupan sebagai seorang ahli bomba.

Sambutan yang berlangsung di Balai Bomba, Jalan Hang Tuah pada Sabtu, dipenuhi pelbagai aktiviti seperti menaiki trak bomba serta memadamkan api di Pusat Latihan Bomba di sini.

Kegembiraan Harith Maisara jelas kelihatan apabila senyuman terukir sebaik melangkah turun daripada trak bomba.

Ibunya, Suhana Sanuri, 44, mengalirkan air mata kerana terharu, gembira serta berterima kasih kepada jabatan bomba dan badan bukan kerajaan (NGO), Make A Wish Malaysia yang merancang program ini.

“Bukan mudah untuk kami terima selepas dia didiagnos pada Oktober tahun lepas, tetapi hari ni, dia seperti lupakan semua perkara itu,” katanya selepas program yang turut dimeriahkan dengan kehadiran pelajar dari Sekolah Antarabangsa Garden.

Harith Maisara turut dihadiahkan sebuah kek oleh sekumpulan ahli bomba, termasuk Pengerusi Majlis Pencegahan Kebakaran Malaysia (FIPCOM), Soh Chai Hock, dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutan, Khirudin Drahman.

Menurut Suhana, Harith Maisara sentiasa menunjukkan perasaan ingin tahu dalam pelbagai perkara termasuk hal berkaitan dengan bomba.

Harith Maisara yang sudah melalui empat kitaran kemoterapi dari Januari sehingga April tahun ini dijangka beransur pulih.

“Dia sudah kembali ke sekolah walaupun sedang menjalani rawatan susulan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia,” kata Suhana.

 

bomba, Harith Maisara Mohd Rizal

Artikel Berikut

Rara Nikahi 'TheKeluangMan'

Artikel Lain