suria

Rara Nikahi 'TheKeluangMan'

Penasihat DAP, Lim Kit Siang turut hadir pada majlis perkahwinan Rara. Foto ihsan Youn Syefura Othman.

PETALING JAYA: Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Young Syefura Othman atau lebih dikenali sebagai Rara belum merancang lokasi untuk berbulan madu bersama suaminya, Muhamad Masyhur Abdullah kerana terikat dengan komitmen tugas.

"Buat masa ini belum ada perancangan lagi (bulan madu). Jadual sangat sibuk dengan tugas sebagai Ahli Majlis," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Ahad.

Namun, Rara berkata, percutian di pulau merupakan lokasi pilihannya kerana beliau sukakan ketenangan sambil menikmati keindahan alam semula jadi.

"Antara lokasi pilihan mungkin Phuket, Bali atau Cebu kerana saya suka percutian di pulau," katanya.

Pada Sabtu, Rara selamat bergelar isteri kepada pengurus pelaburan, Muhamad Masyhur Abdullah.

Majlis perkahwinan Syefura yang juga Penolong Setiausaha Kebangsaan Wanita DAP bersama jejaka pilihannya itu diadakan di Sangkot Garden, Hulu Langat.

Turut hadir Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S. Arutchelvan.

Rara memakai persalinan merah jambu untuk masjlis akad nikah. Foto ihsan Young Syefura Othman.

Ditanya mengenai keistimewaan Muhamad Masyhur, Rara berkata, suaminya yang dikenalinya sejak dua tahun lalu itu seorang yang tenang, penyabar dan amat memahami dirinya yang aktif dalam politik.

"Suami memang memahami tugas dan minat saya. Selama berkawan pun dia dah faham dengan kerjaya saya. Dia sentiasa menyokong saya," katanya.

Walaupun sudah bergelar isteri, Rara berkata, dia tiada masalah untuk membahagikan masa antara keluarga dan kerjayanya.

"Dah jadi isteri tanggungjawab makin besar tapi Insya-Allah boleh diuruskan," katanya.

Suami Syefura pernah mencetuskan kontroversi apabila ditahan pada Mei lalu kerana didakwa mengeluarkan kenyataan menghina Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di laman Twitternya @TheKeluangMan.

Difahamkan Muhamad Masyhur membuat komen tersebut sebagai reaksi balas kepada imej yang dimuat naik Tunku Ismail di dalam laman Facebook Johor Southern Tigers.

Imej tersebut menunjukkan Tunku Ismail pemilik pasukan Johor Darul Takzim sedang menikmati hidangan dan miniatur gajah diletakkan di atas pinggan dengan perkataan CEO tertulis diatasnya.

Gajah merupakan maskot untuk pasukan bola sepak Pahang atau lebih dikenali sebagai Tok Gajah yang tewas 0-6 di tangan JDT pada aksi Liga Super, 21 Mei lalu.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain