PETALING JAYA: Kerajaan diminta memperuntukan sejumlah dana yang setimpal untuk pembangunan sukan golongan kurang upaya (OKU) seiring pencapaian membanggakan atlet istimewa itu pada Sukan Paralimpik di Brazil, baru-baru ini. Presiden Persatuan Orang Kurang Upaya Anggota Melayu Malaysia (Pokuam), Suhairi Abdullah berkata, pembentangan Bajet 2017 diharap dapat membawa berita baik kepada komuniti OKU negara. Katanya, golongan OKU meminati bidang sukan, tetapi kemudahan yang diberikan masih tidak menyeluruh, terutama di kawasan pinggir dan luar bandar. “Kita harap dengan kejayaan atlet paralimpik di Rio baru-baru ini, kerajaan akan berikan peruntukan dalam belanjawan untuk pembangunan sukan terhadap OKU dan juga pembangunan secara keseluruhannya, termasuk dalam sektor ekonomi dan pendidikan. “Jika tiada dua sektor tersebut, iaitu ekonomi dan pendidikan, maka tidak dapat juga mereka menceburkan diri dalam bidang sukan ini,” katanya ketika dihubungi mStar Online. Mengenai tiga emas dan satu gangsa yang diperoleh atlet paralimpik negara, kata Suhairi, jika rakyat Malaysia pelbagai kaum dan latar belakang berbangga dengan pencapaian cemerlang itu, pihaknya merasainya berlipat kali ganda. “Tentu sekali kami sangat berbangga dan gembira dengan kejayaan serta pengiktirafan yang diberikan kerajaan, selain masyarakat terhadap atlet berkenaan. "Malahan, berdasarkan sambutan yang diberikan, secara umumnya dapat dilihat adanya perubahan daripada segi persepsi masyarakat terhadap golongan OKU," katanya. Sementara itu, Ketua Eksekutif Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom), Razin Murat pula berkata, sokongan rakyat Malaysia juga terserlah apabila ada kesungguhan untuk menyaksikan Sukan Paralimpik 2016 menerusi sumber lain, kerana ia tidak disiarkan secara langsung oleh mana-mana stesen televisyen di negara ini. “Tidak kira sama ada OKU dari segi intelektual mahupun fizikal, saya rasa sangat bangga dan terharu atas pencapaian mereka, terutama kebolehan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi yang memenangi emas acara 100 meter T36 (celebral palsy),” katanya. Tambah beliau, pelbagai cadangan dan usaha perlu diberikan bagi melahirkan lebih ramai atlet untuk manfaat sukan paralimpik terutama di peringkat antarabangsa. Selain itu, Pengarah Eksekutif Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB), Dr S Radha Krishnan berpendapat, proses pemilihan atlet perlu diperluaskan bukan sahaja di kawasan Lembah Klang sahaja, tetapi di peringkat negeri. "Kebiasaannya pencarian bakat atlet ini akan berlangsung dua tahun sekali sahaja,” katanya.