suria

Kes Bunuh Segambut: Bayi Mati Akibat Kecederaan Di Kepala

Anggota polis membawa keluar bungkusan mengandungi mayat dua kanak-kanak dipercayai dibunuh di sebuah rumah sewa di tingkat dua Apartment Nova, Sri Sinar, Segambut pada Isnin. fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan bayi lelaki berusia tujuh bulan, yang mayatnya ditemui bersama mayat bapa dan kakaknya di Taman Sri Sinar, Segambut pada Isnin, maut disebabkan kecederaan 'kepala akibat trauma tumpul'.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP R.Munusamy berkata menurut laporan Hospital Kuala Lumpur, tengkorak kepala Cheah Kai Wen turut pecah.

"Pasti ada unsur jenayah dalam kes ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, malam Selasa.

Munusamy berkata, pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat Cheah Hing Soon, 34, dan Cheah Kai Sze, 3.

Pada Isnin, mayat seorang lelaki dan dua anaknya dijumpai di rumah sewa mereka di Apartment Nova, Taman Sri Sinar, Segambut di sini.

Mayat kedua-dua kanak-kanak itu dijumpai dalam dua bekas simpan barang besar yang ditutup dengan plastik manakala mayat lelaki itu ditemui dalam keadaan terlentang di bilik tidur utama.

Susulan itu, isteri mangsa berusia 35 tahun, ditahan reman selama lima hari mulai hari ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - BERNAMA

kes bunuh, Segambut

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan