suria

Video Bogel: Keluarga Wanita Rayu Rakaman Dipadam

Gambar hiasan.

KOTA BARU: Keluarga wanita berusia 26 tahun yang dipukul dalam keadaan bogel serta kejadian dirakam, merayu orang ramai yang memiliki video itu supaya memadamkannya bagi menjaga kehormatan wanita itu.

Ibu wanita terbabit yang dikenali sebagai Kak Ni, 49, berkata akibat penyebaran video itu keluarganya kini menanggung aib manakala anaknya pula trauma dan terpaksa berkurung di rumah.

Beliau juga melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan keluarganya berikutan ugutan yang diterima daripada individu yang tidak dikenali.

"Tiga hari lalu saya menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mengugut akan melakukan sesuatu yang tidak baik kepada keluarga saya.

"Disebabkan itulah saya memohon kepada polis supaya membuat rondaan di kawasan tempat tinggal saya dan berharap pihak itu ditangkap dengan secepat mungkin," katanya selepas perjumpaan dengan Ketua Polis Negeri Datuk Dr Ab Rahman Ismail di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, Selasa.

Kak Ni berkata keluarganya juga akan menyaman pihak yang menyebarkan video berkenaan.

Dua video, masing-masing berdurasi 2 minit 8 saat dan 1 minit 15 saat memaparkan seorang wanita dibogel dan dipukul oleh seorang wanita lain dalam kejadian dipercayai Rabu lepas, di sebuah hotel di pekan Sungai Golok, Thailand.

Sementara itu, Ab Rahman berkata satu pasukan daripada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard yang berpengalaman dalam bidang agama dan psikologi akan dihantar bagi mengurangkan trauma yang dialami mangsa. - BERNAMA

video bogel, Sungai Golok

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan